PEDRO Acosta Dah Mulai Bimbang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/13/20241 min read


KTM memberi jaminan yang program sukan permotorannya khususnya MotoGP tidak akan terkesan dengan situasi kewangan meruncing yang berlaku kepada syarikat induknya.
Tetapi dengan pendedahan betapa seriusnya situasi itu, ia tidak dapat menghalang ia daripada mencetus rasa 'bimbang' pelumba bintangnya dan 'rookie' musim ini, Pedro Acosta.
Syarikat pengeluar motosikal gergasi Austria itu pada awal bulan ini didedahkan berdepan hutang sebesar 3 juta bilion (RM 14 bilion) sedang melakukan proses untuk mengelak daripada bankrap.
Menurut pengurus Acosta, Albert Valera, masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu tidak berada dalam pertimbangan pelumba itu ketika menandatangani perjanjian.
Malah bercakap kepada Motorsport.com, Valera mengakui dia dan pasukannya bimbang dengan situasi itu kerana ia turut berpotensi mereka akan mendapat jentera yang tidak kompetitif.
"Tiada siapa pernah memberi amaran kepada kami mengenai kemungkinan ini apabila kami menandatangani kontrak pada Mei," kata Valera.
"Kami diberitahu yang KTM adalah gergasi dengan kekuatan kewangan yang besar, ia sesuatu yang benar-benar mengejutkan kami.
"Ia adalah satu berita yang tidak mudah dihadam. Apa yang bagus, daripada apa yang kami diberitahu, projek MotoGP akan diteruskan, jadi tiada sebarang kebimbangan mengenai tiada jentera pada tahun depan.
"Apa yang kami terfikir dalam keadaan ini dengan keadaan seperti ini adakah kami akan dapat bersaing," katanya.
Acosta yang memulakan kariernya di MotoGP bersama pasukan satelit KTM, GasGas Tech3 dinaikkan pangkat ke pasukan utama musim 2025 untuk bergandingan dengan Brad Binder.
"Pada Mei lalu kami menandatangani kontrak dengan pasukan yang mempunyai projek untuk menang, syarikat yang menjana jutaan euro keuntungan dan dengan mesej jelas mereka berada dalam situasi yang kuat untuk bersaing menentang Ducati," kata Valera.
"Tetapi hari ini ia tidak seperti itu. Secara tiba-tiba, dalam enam bulan, segala-galanya berubah dan kami berfikir apa yang berlaku. Ia adalah sesuatu yang membimbangkan kami dan untuk menafikannya jelas adalah tidak masuk akal.
"Saya fikir kami perlu menerimanya dan menjadi jujur, dan jelas, Pedro dan saya, keluarganya, rakan-rakannya bimbang dengan situasi semasa ini."
