PEDRO Acosta Dapat Tonik Hadapi Le Mans

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/7/20241 min read

PELUMBA 'Rookie' tunggal MotoGP 2024, Pedro Acosta mengakui dia kini lebih memahami jenteranya KTM RC16 selepas mengharungi ujian di Jerez, Sepanyol dan tiba di Le Mans, Perancis dengan keyakinan lebih tinggi.

Pelumba pasukan satelit KTM, Red Bull GasGas Tech3 itu mengharungi kempen yang dianggap cukup baik setakat ini dan selepas empat pusingan MotoGP berlangsung, dia berjaya menaiki podium dalam tiga pusingan terakhir (Perlumbaan utama dan Sprint) di Portugal, Amerika Syarikat dan Jerez.

Selepas GP Sepanyol, kesemua pasukan mengharungi sesi ujian di Jerez pada Isnin dan menurut pelumba kelahiran Sepanyol itu, ia cukup penting buatnya dari sudut kefahaman terhadap jentera.

"Kami tiba di Perancis dengan banyak perkara yang kami belajar dari Jerez," kata Acosta.

"Selepas empat pusingan, kami tahu di kawasan mana kami perlu menambahbaik dan ujian banyak membantu kami dari sudut itu. Jadi saya fikir kami tiba di Perancis dengan posisi yang lebih baik.

Mengulas mengenai aksi di Le Mans yang juga perlumbaan laman sendiri buat Tech3, penyandang juara dunia Moto2 itu berkata dia akan cuba mendapatkan keputusan sebaik mungkin.

"Le Mans adalah litar yang saya gemari, dan ia juga adalah Grand Prix laman sendiri buat pasukan Tech3. Jadi kami akan cuba melakukan yang terbaik, bermula dengan menambahbaik kelayakan pada Sabtu dan cuba mendapatkan posisi grid yang baik.

"Saya tidak sabar untuk berlumba di sana, di depan peminat yang amat menggemari perlumbaan motosikal."

Acosta ketika ini menghuni tangga keempat keseluruhan carta pelumba dan menjadi pelumba KTM terbaik mengatasi pelumba pasukan 'kilang' Red Bull KTM.