PEDRO Acosta Dedah Kelemahan KTM

Pelumba Red Bull KTM Pedro Acosta melakar kejutan pada hujung minggu perlumbaan itu dengan merangkul kemenangan sulung dalam aksi perlumbaan Sprint selepas bintang Ducati Lenovo Marc Marquez dikenakan penalti dan menamatkan perlumbaan MotoGP pada Ahad di tempat kedua

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/4/20261 min read

BINTANG KTM, Pedro Acosta meninggalkan pusingan pembukaan musim MotoGP 2026 di GP Thailand dengan status sebagai pendahulu kejuaraan dunia, namun di sebalik kejayaan mengakui ada banyak kerja rumah perlu dibuat pengaluar Austria itu.

Acosta melakar kejutan pada hujung minggu perlumbaan itu dengan merangkul kemenangan sulung dalam aksi perlumbaan Sprint selepas bintang Ducati Lenovo Marc Marquez dikenakan penalti dan menamatkan perlumbaan MotoGP pada Ahad di tempat kedua.

Kejayaan pada Sabtu menandakan kemenangan pertama KTM sejak 2023, sekali gus menutup tirai aksi hujung minggu sebagai pendahulu carta Kejuaraan Motosikal Dunia MotoGP buat julung kalinya.

Begitupun, Acosta percaya saingan sengit di Buriram turut mendedahkan kelemahan utama jentera KTM berbanding pencabar terdekat, Ducati dan Aprilia.

Kata Acosta, kelajuan maksimum jentera KTM pada musim ini tidak begitu mengagumkan berbanding Ducati dan Aprilia di mana dia banyak bergelut pada dua sektor pertama di Buriram.

Sebagai rekod, kelajuan terpantas yang direkodkann di Thailand ialah 345.0 kilometer sejam (km/j) oleh pelumba Aprilia, Jorge Martin ketika pusingan kelayakan, manakala Enea Bastianini merekodkan kelajuan tertinggi buat KTM pada 342.8 km/j. Catatan peribadi terbaik Acosta pula adalah 341.7 km/j.

Semasa perlumbaan utama hari Ahad, Marquez mendahului carta kelajuan pada 339.6 km/j, manakala Acosta dan rakan sepasukan, Brad Binder masing-masing sekadar mencecah 336.4 km/j.

Acosta begitupun menampung kelemahan itu pada sektor terakhir, terutama di zon membrek yang berat di selekoh terakhir yang menjadi lokasi strategiknya untuk melakukan banyak aksi memotong.

Justeru kata pelumba Sepanyol itu, jika aspek itu dipertingkatkan, ia akan menjadikan tugas pelumba-pelumba KTM lebih mudah.