PEDRO Acosta Dedah Sertai Ducati Untuk 'Berguru' Dengan Marc Marquez

Kenyataan Pedro Acosta adalah untuk menyangkal pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Gottfried Neumeister pada bulan lalu yang mendakwa pelumba itu menolak tawaran lumayan pasukan semata-mata mahu mencabar Marquez dengan 'senjata' yang serupa

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/15/20261 min read

PELUMBA bintang Red Bull KTM, Pedro Acosta menolak dakwaan keputusannya menyertai Ducati didorong oleh sifat obsesi untuk menewaskan Marc Marquez menggunakan jentera yang sama.

Kenyataan Acosta itu sekali gus menyangkal pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Gottfried Neumeister pada bulan lalu yang mendakwa pelumba itu menolak tawaran lumayan pasukan semata-mata mahu mencabar Marquez dengan 'senjata' yang serupa.

Menjelaskan perkara itu ketika Grand Prix (GP) Indonesia minggu lalu, Acosta mendedahkan dia sebenarnya tidak pernah mengadakan sebarang rundingan lanjutan dengan pihak pengurusan KTM berhubung penyambungan kontrak baharu.

Katanya, apabila KTM menghantar tawaran kontrak kepadanya, dia terus menolak serta-merta tanpa memberikan sebarang ruang perbincangan susulan sejarah hitam yang berlaku antara kedua-dua pihak pada tahun lalu.

Acosta menjelaskan dia masih terkilan dengan tindakan KTM yang mendakwanya tidak memenuhi kontrak apabila menyuarakan hasrat untuk meninggalkan pasukan itu sebelum ini, membuatkannya nekad dengan pendiriannya.

"Saya beritahu mereka dalam apa jua keadaan sekalipun, biarpun ditawarkan dengan semua wang yang ada di dunia ini, saya tidak akan meletakkan diri saya kembali dalam situasi seperti itu lagi," katanya.

Mengulas mengenai keputusannya menyertai skuad kilang Ducati pada 2027, Acosta yang baru sahaja menghadiahkan kemenangan pertama buat KTM dalam tempoh 4 tahun di GP Austria menyifatkan ia sebagai keputusan paling mudah dalam hidupnya.

Menurutnya, matlamat utama yang ditetapkan bersama pengurusnya, Albert Valera adalah sangat ringkas iaitu mahu menunggang jentera yang paling pantas dan menyertai pasukan paling kompetitif dalam tempoh sedekad yang lalu.

Dia turut menegaskan bahawa motivasi utamanya untuk berada satu garaj dengan Marquez bukanlah untuk mencipta perseteruan atau membuktikan siapa lebih hebat, sebaliknya untuk menimba ilmu.

"Ia bukan soal untuk menewaskan Marc. Satu-satunya sebab saya mahu bersama Marc adalah kerana saya tidak akan mendapat peluang lain lagi untuk belajar daripada pelumba terbaik dalam sejarah, atau pelumba terbaik dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini," katanya.