PEDRO Acosta Dedah Tahu Punca Jatuh Di Buriram, Tapi...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/14/20251 min read

PELUMBA Red Bull KTM, Pedro Acosta mengharungi kempen mengecewakan pada pusingan pembukaan MotoGP 2025 di Buriram, Thailand dengan cabarannya di perlumbaan utama berakhir selepas terjatuh.

Tiba di Thailand sebagai antara prospek yang mampu mencabar kedudukan podium berpandukan kemampuan terkini KTM RC16, pelumba kelahiran Sepanyol itu meraih tempat ke-6 pada Perlumbaan Sprint sebelum ditimpa malang pada perlumbaan GP.

Sekali pun bangkit untuk meneruskan perlumbaan, pelumba berusia 20 tahun itu hanya berjaya menamatkan saingan di tempat ke-19.

Dan menjelang perlumbaan GP Argentina, Acosta berkata dia sudah pun memahami mengapa dia terjatuh dan menyuarakan keyakinan yang ia tidak akan berlaku lagi tanpa mendedahkan apakah puncanya.

"Saya sudah pun memahami apa yang berlaku di Thailand, dan saya tahu apa yang diperlukan untuk menghalangnya daripada berlaku lagi," kata Acosta kepada es.motorsport.com.

"Saya mengetahui banyak perkara, tetapi saya tidak akan berkata apa-apa."

Acosta tidak pernah beraksi dalam kelas MotoGP di Termas de Rio Hondo berikutan pembatalan perlumbaan itu pada tahun lalu susulan masalah dalaman negara berkenaan.

Dalam dua penampilannya di litar berkenaan sebelum ini di petas Moto2, keputusan yang diperoleh tidak begitu mengujakan iaitu ke-12 pada 2023 dan ke-7 pada edisi 2022,

Begitupun, KTM boleh dikatakan mengharungi kempen yang mengujakan di Argentina apabila memenangi Perlumbaan Sprint pada 2023 dengan Jack Miller menjadi pelumba terbaik KTM dengan menamatkan perlumbaan utama di kedudukan ke-6.