'PEDRO Acosta Hanya Tunggu Masa Nak Menang'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/7/20251 min read

PEDRO Acosta, pelumba yang memenangi anugerah 'rookie' terbaik MotoGP musim lalu hanya menunggu masa untuk meraih kemenangan pertamanya di pentas elit itu, kata pelumba Honda, Joan Mir.

Acosta yang merangkul podium pada perlumbaan keduanya di MotoGP dan memperoleh keputusan terbaik tempat kedua di Austin dicanang sebagai pelumba yang berupaya menamatkan rekod Marc Marquez sebagai pelumba termuda meraih kemenangan di MotoGP.

Berlumba bersama pasukan 'satelit' KTM, GASGAS Tech3, Acosta mempunyai masa sehingga Grand Prix Jerman pada Julai untuk memecahkan rekod itu tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

"Pedro melakukan kerja yang menakjubkan," kata Mir memetik laporan Crash.net. "Amat sukar untuk menjadi amat kompetitif di semua litar dan Pedro menunjukkan kelajuan yang amat baik dalam semua litar, jadi ia menakjubkan.

"Mungkin pelumba Ducati lebih banyak di depan dari sudut prestasi dan sudah tentu ia tidak membantunya untuk mendapatkan kemenangan pertamanya.

"Tetapi ia akan tiba... dia sedang belajar dan amat-amat laju. Syaa tidak terkejut jika dia tidak menang kerana dia mempunyai kualiti dan bakat untuk melakukannya. Jadi ia hanya menunggu masa."

Pada penampilan pertamanya di MotoGP, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya menaiki podium sebanyak sembilan kali termasuk lima pada perlumbaan utama dan menjadi satu-satunya pelumba KTM berjaya menaiki podium lebih daripada dua kali.

Tetapi beberapa peluang terbaiknya terlepas susulan kemalangan yang turut menyaksikannya menamatkan kempen sebagai pelumba kedua terbaik KTM di belakang Brad Binder dan hanya dibezakan dengan dua mata.