PEDRO Acosta Makin Yakin Dengan KTM
Selepas mengharungi kempen mengujakan pada penampilan 'rookie' di MotoGP musim lalu, apa yang diharapkan Pedro Acosta pada musim ini jelas tidak menjadi kenyataan dengan jentera KTM RC16 jelas tidak berada di tahap diharapkan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/13/20251 min read


PEDRO Acosta mengendurkan spekulasi yang dia mahu meninggalkan KTM pada penghujung kempen MotoGP musim ini.
Selepas mengharungi kempen mengujakan pada penampilan 'rookie' musim lalu, apa yang diharapkan pelumba kelahiran Sepanyol itu jelas tidak menjadi kenyataan pada musim ini dengan jentera KTM RC16 jelas tidak berada di tahap diharapkan.
Begitupun, dua kedudukan podium di Grand Prix Republik Czech sebelum rehat musim panas memberikan kelegaan dan hadir tepat pada masanya ketika spekulasi yang mengaitkannya dengan VR46 Ducati semakin kuat.
"Saya gembira di mana saya berada," kata Acosta kepada MotoGP.com. "Benar kami tidak berada di mana kami jangkakan untuk berada pada tahun ini, kami tidak berada di tempat yang kami impikan pada tahun ini, tetapi pada akhirnya, kami akan bangkit daripada situasi sukar ini.
"Kini kami perlu meneruskan dengan arah ini. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, saya hanya perlu menunggang jentera saya, menunggang selaju yang saya boleh, dan cuba untuk memberikan 100 peratus usaha."
Acosta dalam pada itu menjangkakan penambahbaikkan akan terus dibuat oleh pasukannya Red Bull KTM Factory Racing menjelang perlumbaan laman sendiri, GP Austria 2025 di Red Bull Ring.
"Kami saling mendorong setiap hari untuk mencuba, dari sudut saya, untuk menjadi lebih tepat, dan saya rasa KTM akan berusaha membawa sesuatu yang baharu sebelum perlumbaan di Red Bull Ring,” katanya.
"Ia tidak mudah apabila kamu berada di lubang ini, atau di terowong ini, ia agak sukar untuk melihat cahaya di hujungnya.
"Saya fikir setiap ahli sukan dalam karier profesionalnya memerlukan tempoh yang keras untuk menjadi kuat," katanya. "Ini akan menjadikan Pedro yang lebih kuat, sudah tentu, dan juga lebih pantas dalam satu cara lain."
