PEDRO Acosta Pilih Marc Marquez

Segar dengan kejayaan meraih kemenangan sulung di pentas MotoGP di Grand Prix (GP) Austria 2026, Pedro Acosta meletakkan bakal rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez sebagai pilihan juara keseluruhan MotoGP musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/23/20261 min read

PEMENANG Grand Prix (GP) Austria 2026, Pedro Acosta memilih bakal rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez sebagai pilihan juara keseluruhan MotoGP musim ini.

Kejayaan meraih kemenangan sulung di laman sendiri KTM di Litar Red Bull Ring melonjakkan kedudukan Acosta ke tangga ke-4 dalam carta kejuaraan dunia, namun ketinggalan 72 mata di belakang pendahulu dari Aprilia, Jorge Martin.

Marquez sebelum ini merampas seketika teraju kejuaraan selepas pusingan di Aragon, namun terpaksa menduduki tempat ke-2 ketika kempen menuju ke Asia dengan jurang 12 mata di belakang Martin, manakala rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi di tangga ketiga, ketinggalan 42 mata.

Ketika ditanya oleh MotoGP.com mengenai siapa pilihan utamanya untuk menjulang gelaran dunia 2026, Acosta dengan tenang meletakkan status itu kepada Marquez.

"Saya masih jauh (daripada kedudukan teratas), tetapi tidak begitu jauh dari kelompok tiga terbaik, jadi saya gembira dengan pencapaian ini. Kini bermula fasa yang baik untuk kami apabila saingan beralih ke Asia.

"Tetapi, Marc (Marquez) sepatutnya memenangi kejuaraan ini. Dia adalah pelumba yang memenangi paling banyak kejuaraan dan memiliki pengalaman yang lebih luas. Atas sebab itu, saya sanggup mempertaruhkan wang saya untuknya," kata Acosta.

Perebutan gelaran dunia MotoGP 2026 kini semakin memuncak dengan baki lapan pusingan dan 296 mata maksimum menjadi rebutan, bermula dengan GP Jepun di Litar Motegi pada minggu depan.

Sebagai rekod, perlumbaan di Motegi musim lalu menyaksikan Pecco Bagnaia menyapu bersih kemenangan, ketika Marquez berjaya mengesahkan gelaran dunia pertamanya bersama Ducati.