PEDRO Acosta Sedang Diintai Ducati?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20241 min read

PELUMBA 'rookie' MotoGP musim ini, Pedro Acosta yang juga pelumba sensasi KTM dikatakan sedang 'diintai' pengeluar Itali, Ducati berikutan kebimbangan kewangan terhadap pengeluar motosikal Austria itu, menurut laporan GPOne.

Seperti diketahui, KTM ketika ini berdepan krisis kewangan yang serius membabitkan jumlah berbilion euro.

Sekalipun syarikat itu menegaskan program sukan permotorannya tidak akan terbabit, ia dikatakan boleh memberikan kesan kepada pelumba bintangnya itu.

Acosta yang juga juara dunia Moto2 musim 2023 tampil dengan prestasi menakjubkan pada musim pertamanya di MotoGP bersama pasukan satelit, GasGas Tech3.

Menamatkan kempen di kedudukan ke-6 keseluruhan di belakang pelumba yang jauh lebih senior di KTM, Brad Binder dan hanya dipisahkan beberapa mata, Acosta mengesahkan tempatnya bersama pasukan 'kilang' lebih awal.

Tetapi menurut laporan GPOne, Ducati sedang mencari jalan untuk memikat pelumba itu untuk datang ke Bologna.

Kontrak Acosta dijadual berakhir pada penghujung 2026 tetapi dengan kebimbangan membabitkan kewangan KTM, ia memberi peluang untuk pengeluar Itali itu untuk mendapatkan khidmatnya.

Lebih menarik, pengurusnya iaitu Albert Valera adalah individu yang sama menguruskan dua pelumba, Jorge Martin dan Aleix Espargaro.

Ducati begitupun pastinya sudah berpengalaman yang memiliki ramai pelumba bintang bukan sesuatu yang begitu menghiburkan.

Pada musim 2025, Ducati membariskan enam pelumba di grid MotoGP menerusi Marc Marquez dan Francesco Bagnaia bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo dan empat pelumba bersama pasukan satelit, VR46 Ducati dan Gresini Ducati.