PEDRO Acosta Takluk Perlumbaan Sprint GP Malaysia 2026

Jagoan Red Bull KTM, Pedro Acosta merangkul kemenangan Perlumbaan Sprint keduanya pada musim ini selepas mengungguli aksi Grand Prix (GP) Malaysia 2026 penuh mendebarkan dan dibayangi dengan keadaan cuaca tidak menentu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/31/20262 min read

JAGUH Red Bull KTM, Pedro Acosta merangkul kemenangan Perlumbaan Sprint keduanya pada musim ini selepas mengungguli aksi Grand Prix (GP) Malaysia 2026 penuh mendebarkan dan dibayangi dengan keadaan cuaca tidak menentu hari ini.

Kemenangan Acosta itu hadir dalam perlumbaan 10 pusingan yang dipenuhi drama, menyaksikan pelumba yang memulakan perlumbaan dari petak utama yang juga pendahulu awal, Alex Marquez tersingkir akibat kemalangan.

Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez menamatkan saingan di tempat ke-2.

Terdahulu, perebutan kejuaraan dunia antara Marc Marquez dan Jorge Martin mengambil giliran dramatik pada sebelah pagi apabila pelumba Aprilia itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Perkembangan itu membuka ruang luas buat Marquez untuk melebarkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan tatkala baki saingan musim ini hanya berbaki empat pusingan saja lagi.

Pada perlumbaan yang bermula dalam keadaan litar kering, Alex yang juga pelumba Gresini Ducati bertindak cemerlang merampas kedudukan pendahulu dari petak utama menuju ke Selekoh 1.

Bagaimanapun, Marc Marquez yang cuba mengekori dipintas oleh Ai Ogura sebelum kedua-dua pelumba itu bergesel sedikit di Selekoh 2. Insiden itu memaksa Marquez membuka ruang yang kemudiannya pantas disambar Acosta untuk berada di kedudukan podium.

Drama mula tercetus apabila hujan rintik turun pada pusingan kedua. Pelumba Pramac, Jack Miller mengambil risiko masuk ke hentian pit untuk menukar jentera pelarasan hujan, namun pasukannya belum bersedia, menyebabkan pelumba Australia itu berang.

Dalam pada itu, Marc Marquez yang kelihatan bergelut dengan keadaan litar, terpaksa bekerja keras sebelum berjaya memintas Ogura di bahagian dalam Selekoh 5 untuk mengesahkan tempat kedua.

Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi turut mencuri tumpuan apabila melengkapkan pentas podium di tempat ketiga selepas berjaya mengatasi Ogura pada penghujung saingan.

Hujan semakin lebat pada pusingan terakhir yang menyaksikan Maverick Vinales, Joan Mir, Franco Morbidelli dan Iker Lecuona masuk ke pit untuk menukar jentera. Namun, hujan lebat hanya benar-benar turun selepas kibaran bendera penamat.

Acosta melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.578 saat di hadapan Marquez, diikuti Bezzecchi, Ogura, dan pelumba VR46, Fabio Di Giannantonio di tempat ke-5.

Juara dunia, Pecco Bagnaia menamatkan saingan di tempat keenam, diikuti Brad Binder (KTM), Diogo Moreira (LCR Honda) dan Enea Bastianini (Tech3) bagi melengkapkan kedudukan sembilan terbaik yang memberikan pungutan mata.

Selepas aksi Sprint, Marquez kini melebarkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 19 mata di hadapan Martin, manakala Bezzecchi tercicir 52 mata di belakang.