PEDRO Acosta Teringin Nak Tunggang Ducati GP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/22/20251 min read


PELUMBA Red Bull KTM MotoGP, Pedro Acosta mencetus sensasi apabila ada laporan mengaitkannya dengan perpindahan ke pengeluar Itali, Ducati.
Sekalipun laporan itu masih berstatus sebagai khabar angin, ia bukan sesuatu yang pelik dengan Ducati sememangnya memiliki jentera terbaik di grid MotoGP ketika ini dan sudah membolot semua perlumbaan ditawarkan pada 2025.
Malah Acosta selepas Grand Prix Argentina turut mengakui yang dia merasakan KTM tidak bergerak ke depan dengan keputusan yang diperolehnya selepas dua pusingan.
Ketika ditanya oleh media Sepanyol, AS mengenai apa yang dia mahukan dari Ducati untuk dibawa ke KTM, jawapan Acosta agak unik iaitu bos Ducati Corse, Gigi Dall'Igna.
"Jelas Gigi berada satu langkah ke depan berbanding orang lain," kata Acosta.
"Ia jelas. Untuk melihat bagaimana kategori boleh berkembang, yang saya lihat pada waktu yang lain, akhirnya dia adalah orang yang mencipta banyak perkara yang kita semua gunakan sekarang, seperti alat (ketinggian tunggangan) dan apa yang kita tidak tahu apa mereka ada."
"Apabila kamu mencipta sesuatu, kamu sentiasa satu langkah ke depan berbanding orang lain. Segala-galanya.
"Secara umumnya, MotoGP moden adalah 'salin dan tampal' semua yang jenama lain lakukan. Tiada siapa mempunyai 'sayap' pada awalnya, dan kemudian semua jenama mula melatakkan 'sayap' kecil kepada jentera mereka.
"Saya masih ingat pada tahun (Jorge) Lorenzo membuat debut bersama Ducati, ada aduan kerana 'sayapnya' terlalu besar sehingga kamu boleh memuatkan lengan kamu dan apa yang kamu boleh lihat adalah 'sayap' itu.
"Mereka satu langkah ke depan. Apa yang saya mahukan? Saya berharap untuk menguji salah satu daripadanya (Ducati Desmosedici GP) untuk menyatakan apa yang saya lebih gemar mengenai jentera itu berbanding jentera saya."
