PEDRO Acosta Ulas Speskulasi Tinggalkan KTM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/27/20251 min read

SALAH satu topik yang hangat diperkatakan di MotoGP adalah spekulasi membabitkan masa depan pelumba bintang KTM, Pedro Acosta.

Selepas mengharungi permulaan sukar di Thailand dan Argentina, timbul 'cakap-cakap' yang menyatakan sensasi Sepanyol itu mahu mencari 'angin baharu' dengan menyertai pengeluar Itali yang sedang 'membara' ketika ini.

Begitupun, laporan itu didakwa Acosta sebagai tidak tepat atau lebih kepada khabar angin dan masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap KTM.

"Pada akhirnya kami perlu tahu di mana kami berada. Saya datang ke KTM dengan impian yang jelas dan impian itu masih ada," kata Acosta dalam rancangan MotoGP, Gear-Up.

"Pada akhirnya kami perlu terus berusaha keras. Kami tahu ia bukan sasaran yang mudah, tetapi ia sebahagian daripada permainan.

"Kerana itu kami perlu menjadi tenang, jangan dengar apa yang orang luar daripada pasukan katakan dan itu saja."

Disebalik dianggap sebagai 'anak emas' KTM, Acosta dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, VR46 Ducati pada 2026 terutama selepas pengeluar Austria itu dipalit krisis kewangan meruncing.

Acosta sememangnya memiliki hubungan baik dengan Rossi malah turut menyertai perlumbaan anjuran juara dunia sembilan kali itu pada Januari lalu.

Menjelang Pusingan 3 MotoGP di COTA, Acosta yang juga juara dunia Moto2 2023 mengharungi kempen yang baik pada musim 'rookienya' di Austin apabila memperoleh petak kedua dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

"Mungkin Austin salah satu minggu terbaik yang kami dapat tahun lalu," kata Acosta. "Kerana itu, kami mempunyai harapan.

"Benar yang ini bukan permulaan musim yang kami impikan, tetapi pada akhirnya ia kejuaraan yang panjang. Kami perlu tenang."