PELAN 'A' Tak Jadi, Takaaki Nakagami Jadi Pelumba Ujian HRC Di MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20241 min read

TAKAAKI Nakagami sah tidak akan meneruskan kerjayanya sebagai pelumba MotoGP sepenuh masa bagi musim 2025 selepas tempatnya di LCR Honda diambil alih pelumba Thailand, Somkiat Chantra.

Begitupun, pelumba Jepun itu seperti dinyatakan tidak akan meninggalkan kejuaraan elit sukan lumba motosikal itu secara total, namun tugasnya berubah menjadi pelumba pasukan ujian HRC.

Pernah mengakui rancangan utamanya atau pelan 'A' adalah kekal di LCR Honda, pasukan yang disertainya sejak 2018, segala-galanya tampak tidak menjadi buat pelumba berusia 32 tahun itu.

"Saya memutuskan untuk menamatkan karier saya sebagai pelumba MotoGP pada penghujung musim 2024," kata Nakagami. "Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sudah menyokong saya.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Idemitsu dan Honda atas sokongan jangka panjang mereka.

"Bermula 2025, saya akan terbabit dengan pembangunan jentera HRC. Ia sesuatu yang cukup menggembirakan untuk menggunakan pengalaman saya selama tujuh tahun di MotoGP, jadi saya teruja mengenai babak terbaharu saya ini.

"Akhirnya, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Lucio (Cecchinello) dan keseluruhan pasukan LCR kerana saya merasakan saya adalah sebahagian daripada keluarga ini, dan kesemua tahun yang menakjubkan bersama mereka, mereka sentiasa akan berada dalam hati saya."

Memulakan kerjayanya sebagai pelumba sepenuh masa di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas 125 cc pada 2008, Nakagami dinaikkan pangkat ke Moto2 pada 2011 dan menghabiskan 7 musim di kelas berkenaan.

Merangkul dua kemenangan sepanjang kariernya di Moto2, pelumba berusia 32 tahun itu dinaikkan pangkat ke MotoGP pada 2018 bersama LCR Honda dengan keputusan terbaiknya adalah di tempat ke-4.

Sebagai pelumba ujian HRC, Nakagami akan turut mendapat beberapa tiket untuk beraksi secara 'Wiledcard' musim depan.

Selain itu, kehadiran Nakagami turut menyaksikan HRC akan memiliki tiga pelumba ujian MotoGP bermula musim depan menerusi Aleix Espargaro dan Stefan Bradl.