PELAN Valentino Rossi Halang Marc Marquez Julang Gelaran Dunia Ke-10

Legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi dikatakan melihat seorang pelumba muda berkualiti sebagai cara untuk 'menghalang' Marc Marquez julang gelaran dunia ke-10

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20251 min read

Marc Marquez Valenmtino Rossi
Marc Marquez Valenmtino Rossi

SEPERTI dijangka, Marc Marquez tak menunggu lama untuk bergelar pencabar utama gelaran dunia MotoGP sejurus menyertai Ducati Lenovo.

Selepas menamatkan kempen 2024 di tempat ketiga, juara dunia lapan kali itu 'mengganas' musim ini dan berada di landasan untuk menjulang gelaran dunia ke-9 miliknya.

Jika ia berjaya dicapai, kejayaan itu menyamai rekod yang dimiliki legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi tetapi jika melihat kepada kemampuan, angka itu berkemungkinan mampu ditingkatkan.

Dan menurut salah seorang 'muka lama' di paddock MotoGP iaitu Carlo Pernat, perkara itu antara yang ingin dihalang oleh Rossi.

Pernat yang juga bekas bos Aprilia dan pengurus kepada ramai pelumba MotoGP termasuk Enea Bastianini berkata Rossi melihat pelumba KTM, Pedro Acosta sebagai penghalang untuk Marquez meraih gelaran dunia MotoGP ke-8.

Begitupun, ia bukan sesuatu yang mudah dengan Acosta dikatakan terikat dengan kontrak KTM sehingga musim depan.

"Kontrak (Acosta) bukanlah salah satu jenis yang mudah untuk dibatalkan," kata Pernat kepada media Itali, MOW. "Kita perlu memahami apa yang KTM akan lakukan pada masa depan kerana mereka benar-benar berada dalam keadaan yang sulit ketika ini.

"Pedro Acosta pasti sanggup (melakukan apa saja) untuk Ducati. Dan sudah pasti yang kedua-duanya Ducati dan Rossi akan menyambutnya dengan tangan terbuk.

"Saya fikir Vale boleh melihat kepada Acosta apa yang Marc Marquez lakukan padanya. Pesaing muda yang akan menghalang juara yang hebat meraih gelaran dunia ke-10."

Menuju pusingan ke-11 MotoGP musim di Jerman, Marquez memiliki kelebihan 68 mata di depan adiknya, Alex Marquez dalam carta kedudukan pelumba dan 126 mata di depan pelumba tempat ketiga yang juga ahli VR46 Rider Academy, Francesco Bagnaia.

Marquez dan Rossi sememangnya diketahui memiliki hubungan yang tegang dengan pelbagai siri insiden dengan antara paling terkenal adalah di Sepang pada 2015.