PELIK Tapi Unik, Mini-Moto Untuk 'Awak', Awak AK11 Muncul Di China

TERKINI

3/6/20241 min read

IMPAK dicetuskan syarikat pengeluar motosikal China di pasaran global antaranya CFMoto, QJ Motor, Zontes dan banyak lagi tidak boleh dinafikan semakin besar namun masih ada deretan jenama dari negara Tembok Besar itu sedang mengintai untuk mengisi posisi sama.

Dan antara yang mampu menarik perhatian - terutama di pasaran Malaysia - berikutan namanya adalah Awak Moto - yang juga anak syarikat kepada Bashan Motorcycle Manufacturing Co.

Bukan sekadar unik dengan namanya, Awak Moto baru-baru ini memperkenalkan sebuah model 'Mini-moto' yang boleh dianggap menarik iaitu Awak AK11.

Seperti model 'Mini-moto' yang lain, Awak AK11 membawa penampilan 'comel' dan boleh dikatakan mengambil inspirasi daripad model Honda seperti Dax, dan Monkey.

Tetapi apa yang lebih menarik, rekaannya juga turut didakwa ramai mendapat ilham daripada senjata api, AK-47.

Begitupun menurut Awak Moto, Awak AK11 dihasilkan dengan inspirasi teknologi 'Aeroangkasa.'

Menggunakan kerangka aluminium, Awak AK11 hanya memiliki berat 92 kg. Sebagai motosikal moden, ia turut dipadankan dengan ciri seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), sistem lampu LED.

Tiada banyak maklumat mengenai trenkuasa tetapi motosikal yang menggunakan rim bersaiz 12 inci ini dijana enjin bersesaran 125 cc, Penyejuk Air.

Dan harganya pula adalah 9,880 yuan (RM 6,495).

Setakat ini, tidak diketahui sama ada Awak AK11 akan menembusi pasaran luar China termasuk Malaysia namun peluangnya tetap ada jika ada yang berminat.

Tetapi ia mungkin perlu dijenamakan semula tanpa menggunakan nama Awak Moto.