PELUANG Dinobat Juara Dunia Di Misano, Ini Jawapan Marc Marquez

Marc Marquez meningkatkan jurang sebagai pendahulu carta kejuaraan MotoGP kepada 152 mata kepada pencabar terdekatnya, Alex Marquez selepas merangkul kemenangan Sprint ke-13 dan kemenangan berturut-turut (Sprint dan GP) ke-13 musim ini selepas menjuarai Perlumbaan Sprint GP Hungary

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/24/20251 min read

Marc Marquez
Marc Marquez

DOMINASI yang ditampilkan pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez mencipta prospek juara dunia lapan kali itu dijangka mampu mengesahkan satu lagi gelaran dengan lebih awal pada musim ini, seawal pusingan 16 di Misano, Itali.

Tetapi menurut pelumba Sepanyol itu, kejayaan itu masih dilihatnya sebagai 'mustahil' untuk dicapai.

Marquez meningkatkan jurang sebagai pendahulu carta kejuaraan MotoGP kepada 152 mata kepada pencabar terdekatnya, Alex Marquez selepas merangkul kemenangan Sprint ke-13 dan kemenangan berturut-turut (Sprint dan GP) ke-13 musim ini selepas menjuarai Perlumbaan Sprint GP Hungary, semalam.

Dan jurang itu dijangka akan terus meningkat selepas adiknya, Alex turut berdepan kesukaran apabila dikenakan penalti tiga grid untuk memulakan perlumbaan utama di petak ke-11.

Dengan susun atur di Balaton Park yang dikatakan menjadikan proses memintas amat sukar, satu lagi kemenangan pada Ahad membuatkan Marc di ambang untuk menjuarai gelaran seawal bulan depan di Misano.

Secara matematik, ia boleh dilakukan jika bekas pelumba Honda itu meningkatkan jurangnya kepada 222 mata berakhir GP San Marino tetapi bagi Marc, cabarannya yang menantinya cukup besar.

"Bagi saya, ia masih mustahil (menjuarai gelaran) di Misano," kata Marc kepada motogp.com. "Ia mata yang banyak. Saya perlu mempunyai, mereka beritahu saya, lebih kurang 220 mata kelebihan. Saya tidak tahu secara tepat.

"Tetapi ia terlalu banyak. Kami menikmatinya, kami menunggang dengan cukup baik. Kami perlu menikmati hari esok. Kami tahu pada dua minggu lagi kami akan mengharungi Catalunya, salah satu daripada litar yang saya lemah.

"Dan kemudian, hanya cuba untuk mengawalnya. Tetapi paling penting adalah untuk menamatkan kejuaraan ini secepat yang mungkin tanpa mencuba sesuatu yang gila," katanya.