PELUANG Hakim Danish Ada Tapi Tipis - Zulfahmi Khairuddin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20242 min read

HAKIM Danish Ramli secara matematiknya masih berpeluang untuk mengisi posisi tiga terbaik carta Redbull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) musim ini namun secara realistiknya ia sukar, kata Zulfahmi Khairuddin.

Segar dengan kejayaan menjuarai Perlumbaan 2 pada aksi Pusingan 6 di Aragon, minggu lalu yang juga kemenangan sulungnya di kejuaraan itu, Hakim Danish ketika ini menghuni tangga ke-6 kejuaraan itu selepas mengumpul 114 mata.

Begitupun, kedudukan itu agak jauh daripada pelumba di kedudukan ketiga carta, Valentin Perrone yang juga rakan sepelatihnya dari Argentina yang memiliki 161 mata.

Dijadual mengharungi Pusingan 7 RBMRC 2024 yang juga pusingan penutup tirai kejuaraan pencarian bakat itu musim ini di Misano, Itali, hujung minggu ini, pelumba berusia 17 tahun secara realistiknya perlu memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Dan ia juga perlu bersama dengan harapan rakan sepelatihnya, Perrone tidak mengutip sebarang mata.

Mengulas peluang Hakim Danish untuk mengisi carta tiga terbaik berakhir aksi di Misano, Zulfahmi mengakui secara realistik ia sukar untuk dilaksanakan tapi mahu keputusan cemerlang dibawa pulang anak buahnya itu dari Itali.

"Sasaran untuk Hakim Danish pada minggu ini adalah untuk bersaing di kelompok hadapan dan sentiasa kompetitif dari sesi latihan bebas 1 sehingga ke perlumbaan," kata Zulfahmi.

"Kedudukan keseluruhan Hakim Danish sekarang berada di tempat keenam dan jika dia berjaya naik di tempat ketiga keseluruhan, dia berpeluang untuk ke Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia tahun hadapan.

"Tetapi secara realistiknya apabila kita tengok kedudukan sekarang harapan itu tipis."

Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, beliau yakin dengan kemampuan Hakim Danish untuk memberikan cabaran sengit di Misano, litar yang disifatkan 'sesuai' dengan gaya tunggangan pelumbanya itu.

"Saya harap Hakim Danish dapat menunjukkan prestasi tinggi dan berjaya menawan podium bagi kedua-dua perlumbaan (Misano).

"Sejujur-jujurnya saya yakin dengan potensi Hakim Danish untuk berlumba di Misano kerana saya tahu ia adalah litar yang bagus untuknya dan saya harap kami dapat menghabiskan kempen musim ini dengan baik," kata Zulfahmi.

Kepada yang tidak tahu, tiga kedudukan terbaik RBMRC 2024 memberikan tiket istimewa kepada pemenangnya untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 tanpa mengikut syarat umur yang ditetapkan oleh kejuaraan itu.

Setakat ini, Hakim Danish masih belum layak untuk beraksi di kejuaraan itu pada musim depan berikutan umurnya yang belum mencecah usia 18 tahun ketika saingan bermula.