PELUANG Hakim Danish Beraksi Di Moto3 Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/29/20242 min read

MALAYSIA berpotensi memiliki pelumba beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim depan berdasarkan informasi terbaharu daripada bekas Prinsipal pasukan MotoGP negara, Datuk Razlan Razali.

Dan menariknya, antara nama pelumba yang 'dipetik' adalah pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli.

Memetik laporan BHarian, Razlan yang sebelum ini pernah mengemudi pasukan MotoGP Petronas Yamaha SRT dan RNF Aprilia memberi memberi bayangan sebuah pasukan Moto3 baharu di bawah kendaliannya akan ditubuhkan dan bersaing di kejuaraan dunia seawal musim depan.

Perkembangan menarik itu muncul selepas Razlan mendapat permintaan berkenaan dari pelabur berpotensi di Eropah.

Menurut Razlan, dia memang mendapat tawaran untuk mengetuai pasukan di Moto2 dan Moto3 pada penghujung musim lalu namun ia tidak diambil serius berikutan kekecewaannya yang dialaminya masih belum pulih.

Tetapi pada beberapa bulan lalu, dia kembali dipelawa oleh penaja serta pelabur berpotensi (dari Eropah) yang memintanya untuk kembali bekerja termasuk menubuhkan pasukan di Moto3.

"Mereka (pelabur Eropah) mempunyai seorang pelumba yang hendak dibawa masuk tetapi nak pasukan sendiri," kata Razlan memetik laporan BHarian.

"Jadi saya gunakan peluang itu, mungkin seorang pelumba Eropah dan seorang lagi pelumba Malaysia. Bagi saya, kalau nak buat pasukan Moto3, saya tak nak pasukan itu semuanya dari Eropah (pelumba), saya nak masukkan juga pelumba Malaysia.

"Ini kerana kita tahu yang pada tahun depan ada seorang pelumba Malaysia (Hakim Danosh) yang berbakat dan eloklah untuk kita buat platform ini untuk dia," kata Razlan.

Begitupun kata Razlan, proses berkenaan masih di peringkat awal dengan dirinya terlebih dahulu harus bertemu pemegang hak MotoGP iaitu DORNA bagi mendapatkan 'lampu hijau' selain perlu berbincang beberapa perkara asas lain termasuk jentera yang hendak digunakan.

"Apa yang utama sekarang adalah untuk saya berbincang dengan Carmelo dan DORNA. Saya kena bincang apa yang mereka boleh buat untuk saya, adakah saya kena ambil alih pasukan sedia ada (dalam kejuaraan) ataupun buat satu pasukan baharu," katanya.

Mengulas lanjut, Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin bagi projek berkenaan terutama membabitkan jentera.

"Saya juga kena dapatkan pendapat Zulfahmi sama ada nak (jentera) KTM. Kalau Moto3 antara Honda dan KTM, KTM lagi bagus dan perkara seperti ini kena rancang sebaiknya," kata Razlan yang turut menjangkakan keputusan muktamad mengenainya mungkin diketahui sebelum Grand Prix (GP) Kazakhstan, pertengahan Jun ini.

Dan menurut laporan antarabangsa, kepakaran Razlan ketika ini sedang ditagih pengelola litar di Kazakhstan untuk penganjuran perlumbaan elit itu di negara berkenaan.

Hakim Danish ketika ini sedang bersaing di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024.

Dan prestasi baik berjaya dipamerkan pelumba kelahiran Terengganu itu pada Pusingan 1 RBMRC di Jerez, Sepanyol dengan meraih tempat kedua pada Perlumbaan 2.