PELUANG Jorge Martin Beraksi Di Qatar Cerah?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/2/20251 min read

APRILIA mengesahkan proses pemulihan pelumba bintangnya, Jorge Martin berjalan dengan cukup baik susulan pertemuan dengan pakar perubatan di Sepanyol.

Setakat ini, penyandang juara dunia itu sudah terlepas tiga pusingan kejuaraan di Thailand, Argentina dan Amerika Syarikat dan perkembangan terbaharu itu memberi petanda Martin mungkin boleh bersedia untuk pusingan di Qatar yang dijadual pada 11 hingga 13 April.

Martin mengadakan pertemuan dengan pakar iaitu Dr Xavier Mir, semalam untuk menilai tahap pemulihannya dan keputusan yang diperoleh positif.

Aprilia dalam kenyataan berkata: "Jorge Martin sudah menjalani ujian X-ray semalam dan penilaian adalah positif kerana kalus tulang dapat dilihat dengan jelas pada tahap patah tulang 'scaphoid'.

"Skru sintesis berada dalam kedudukan yang baik dan boleh diterima, yang mengesahkan hasil pembedahan yang betul."

Dr Xavier Mir memberitahu Motorsport: "Pemeriksaan klinikal dan radiologi terhadap patah tulang scaphoid, radius, dan piramidal Jorge Martín menunjukkan perkembangan yang baik yang membenarkan kami memulakan fasa baru dalam proses pemulihan, untuk datang ke Qatar dan melihat situasi pelumba bagi membolehkannya mengambil bahagian dalam GP, tetapi sentiasa selepas melepasi kawalan perubatan MotoGP."

Perkembangan itu menyaksikan Martin boleh meningkatkan tahap latihannya, termasuk latihan berbasikal dan kardio.

Pelumba itu turut memaparkan gambarnya di sosial media sedang berbasikal di Andorra.