PELUANG Marc Marquez Samai Rekod Giacomo Agostini
Marc Marquez menuju ke Assen bagi menghadapi Grand Prix (GP) Belanda 2025, hujung minggu ini dengan dua misi - buru kemenangan ketiga berturut-turut dan peluang untuk menyamai rekod legenda MotoGP, Giacomo Agostini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/26/20251 min read


SELAIN memburu kemenangan ketiga berturut-turut musim ini, Marc Marquez menuju ke Assen bagi menghadapi Grand Prix (GP) Belanda 2025, hujung minggu ini dengan peluang untuk menyamai rekod legenda MotoGP, Giacomo Agostini.
Jika menjuarai Perlumbaan GP, pelumba kelahiran Sepanyol itu akan mengumpul angka kemenangan yang sama dengan Agostini - 68 kemenangan - yang meletakkannya di kedudukan kedua dalam carta pemenang terbanyak.
Sebagai rekod, pelumba dengan kemenangan terbanyak adalah legenda Itali, Valentino Rossi dengan 89 kemenangan,
Seperti Mugello, lokasi yang dia melakar kemenangan berganda, Marquez mengakui Assen adalah litar yang sering menghadiahkannya kesukaran dengan dua kemenangan terakhirnya di litar itu dalam kempen MotoGP adalah pada 2014 dan 2018.
Pada penampilan sulungnya bersama Ducati dengan lencana Gresini, Marquez terjatuh pada Perlumbaan Sprint dan menamatkan Perlumbaan GP di tempat ke-4 sebelum jatuh ke tangga ke-10 susulan penalti yang diperolehnya.
"Dari Mugello terus ke Assen untuk perlumbaan berturut-turut pertama pada musim ini," kata Marquez. "Kami berada di Assen selepas kemenangan hebat di depan Ducatisti dan peminat Itali.
"Ia bukan dihadiahkan, kerana saya sudah bertahun-tahun tidak menang di Mugello.
"Atas kertas, Assen, bukan salah satu litar yang memberi manfaat kepada gaya tunggangan saya, tetapi Ducati amat kuat di sini dalam beberapa edisi terbaharu," katanya.
"Kami akan terus bekerja. Saya berada dalam keadaan yang hebat dan ia adalah aspek yang kami perlu eksploitasi sepenuhnya."
Ducati sejak tiga musim lalu berjaya mencatat kemenangan di Assen menerusi rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia.
Marquez sekiranya menjuarai Perlumbaan GP pada Ahad akan menyamai kejayaan tiga kemenangan berturut-turut yang kali terakhir diperoleh pada 2019 yang juga gelaran dunia terakhirnya di MotoGP.
