PELUANG Toprak Razgatlioglu Julang Gelaran Dunia WorldSBK Di Portugal
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/9/20241 min read


PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu secara matematik boleh mengesahkan gelaran dunia WorldSBK musim ini sejurus Pusingan 11 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2024 di Estoril, Portugal berakhir.
Sekalipun mula menyertai BMW Motorrad daripada Yamaha musim ini, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK itu beraksi cukup cemerlang selepas menamatkan perlumbaan sebanyak 21 kali di kedudukan podium.
Daripada jumlah itu, pelumba berusia 27 tahun itu merakam 15 kemenangan, empat tempat kedua, dua kedudukan ketiga.
Tetapi apa paling menakjubkan, Razgatlioglu turut memecahkan rekod meraih 13 kemenangan secara berturut-turut pada musim ini.
Selain itu, juara dunia WorldSBK 2021 itu turut menjadi pelumba pertama meraih tiga kemenangan sepusingan secara berturut-turut iaitu di Itali, England, Republik Czech dan Portugal.
Keputusan itu membolehkan pelumba dengan gelaran 'El Turco' itu pada satu ketika selesa di puncak kejuaraan sebelum berdepan malang di Magny-Cours, Perancis.
Berikutan insiden yang menimpanya di Perancis, Razgatlioglu terlepas dua pusingan secara total iaitu di Magny-Cours dan Cremona, Itali.
Sekalipun tidak mengutip sebarang mata, kedudukan teratas carta masih dipegangnya dan jurang itu kembali dijarakkan pada Pusingan 10 di Aragon selepas meraih tempat kedua dalam ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan di Sepanyol.
Berbaki dua pusingan, Razgatlioglu ketika ini mengumpul 414 mata dengan kelebihan 39 mata di depan pencabar terdekatnya, Nicolo Bulega dari pasukan Aruba.it Ducati.
Berpandukan kepada pungutan mata, Perlumbaan 1 dan 2 menawarkan mata maksimum 25 mata bagi pemenang diikuti 20 mata (ke-2) dan 16 mata ke-3. Pada Perlumbaan Superpole pula, pemenang meraih 12 mata diikuti 9 mata (kedua) dan 7 mata (ketiga).
Dan untuk memudahkan perkiraaan, Razgatlioglu boleh mengesahkan kejuaraan dunia kedua WorldSBK kariernya jika dia berjaya memiliki kelebihan 63 mata atau lebih selepas aksi di Estoril berakhir.
Apa yang menarik, jika Razgatlioglu berjaya melakukannya, ia turut mencatat sejarah buat BMW Motorrad dalam kempen WorldSBK.
