'PELUMBA Negara Mampu Bawa Pulang Dua Gelaran FIM MiniGP Dunia'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/9/20241 min read

BARISAN pelumba negara mempunyai keupayaan untuk menjuarai kedua-dua gelaran dunia yang ditawarkan di FIM MiniGP Dunia Final 2024 di Aragon, Sepanyol, minggu depan, kata Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.

Lima pelumba diketuai penyandang juara dunia 160 cc, Qabil Irfan Azlan selain Farish Hafiy, Adam Danial dan Qayyim Razil disenaraikan negara dalam kelas perdana 190cc.

Dalam kelas 160 cc, harapan Malaysia diletakkan kepada pelumba cilik kelahiran Terengganu, Ariel Marzuki.

Menariknya ketika Qabil, Farish dan Adam meraih tempat ke Sepanyol menerusi tiket FIM MiniGP Malaysia, Qayyim memperoleh peluang beraksi menggunakan slot sebagai juara FIM MiniGP Indonesia.

"Sasaran kami adalah merebut kedua-dua kejuaraan 190cc dan 160cc," kata Zulfahmi yang juga Pengurus FIM MiniGP Malaysia.

"Untuk merealisasikan hasrat ini, kami sudah menyiapkan kesemua pelumba untuk mempamerkan prestasi yang terbaik di Aragon daripada sesi latihan hinggalah kepada acara perlumbaan.

"Dengan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin kita mampu muncul juara."

Bekas pelumba negara itu berkata, saingan FIM MiniGP Dunia Final 2024 di Aragon menghidangkan cabaran yang berbeza jika dibandingkan dengan litar di Valencia.

"Ciri litar di Aragon yang luas dan panjang akan menyaksikan para pelumba berada di dalam kelompok yang besar ketika perlumbaan.

"Keadaan cuaca juga dijangka sejuk dan berangin dan ini mampu mempengaruhi prestasi pelumba kita. Apapun, kami dari pasukan Malaysia sudah bersedia untuk apa jua cabaran yang akan dihadapi di Aragon," kata Zulfahmi.

Tahun lalu, Malaysia merangkul gelaran dunia dalam kelas 160 cc menerusi Qabil.

FIM MiniGP Dunia Final 2024 sepatutnya dijadualkan berlangsung di Valencia, Sepanyol tetapi berpidah lokasi selepas wilayah timur dan selatan Sepanyol itu termasuk Valencia berdepan bencana banjir besar.