PELUMBA Negara Puas Kongsi Ilmu, Akui BRE Mampu Tingkat Keselamatan Ketika 'Layan' Trek

TAMPIL dengan kelainan, MAM Bike Trackday 2025 x Braaaap Motorsports seperti diketahui turut menyelitkan aktiviti menarik iaitu Braaap Riding Experience (BRE) ala pengalaman tunggangan eksklusif jenama motosikal terkemuka Itali

TERKINI

12/30/20252 min read

TAMPIL dengan kelainan, MAM Bike Trackday 2025 x Braaaap Motorsports seperti diketahui turut menyelitkan aktiviti menarik iaitu Braaap Riding Experience (BRE) ala pengalaman tunggangan eksklusif jenama motosikal terkemuka Itali.

Sebagai mukadimah, BRE menampilkan barisan pelumba-pelumba profesional negara yang bukan calang-calang antaranya Md Zaqhwan Zaidi, Hakim Danish Ramli, Md Helmi Azman dan Fazli Sham.

Ketika ditemui, Zaqhwan dan Hakim Danish mengakui puas dapat berkongsi ilmu yang mereka miliki kepada peminat motosikal khususnya bagi meningkatkan kemahiran mereka dan paling penting peningkatan dari sudut keselamatan.

Justeru, kedua-duanya mengakui BRE mampu menjadi platform terbaik dalam melahirkan penunggang yang lebih bijak dan kompeten di litar.

Sebagai info, BRE adalah program bimbingan yang menggunakan modul ala Ducati Riding Experience (DRE) yang memberi fokus utama kepada teknik tunggangan yang betul terutama ketika di litar.

Dan menariknya, acara pertama ini tidak 'mengoyakkan' poket peserta.

Bekas pelumba Moto2 dan WorldSBK negara, Zaqhwan mengakui peluang bertindak sebagai coach rider dalam program ini sebagai menyeronokkan tetapi pada masa sama dilihat sebagai tanggungjawab.

Katanya, pengalaman mengendalikan kelas tunggangan sebelum ini membantunya untuk tidak berasa kekok ketika menyampaikan ilmu kepada peserta.

"Saya memang sudah biasa mengajar, jadi sesi kali ini terasa sangat santai dan saya gembira dapat berkongsi setiap ilmu yang ada. Bagi saya, manfaat terbesar program BRE ini adalah ia membina keyakinan peserta melalui teknik yang betul.

"Apabila peserta faham mengenai kawalan jentera, secara automatik tahap keselamatan mereka akan meningkat. Kita faham yang mereka mahu laju tetapi ia perlu dilakukan dalam keadaan yang terkawal dan selamat. Kerana bagi saya keselamatan itu cukup penting."

Bagi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, tugasan ini memberikan perspektif baharu buat dirinya memandangkan ini adalah kali pertama dia menggalas peranan sebagai coach rider.

Meskipun berstatus pelumba negara, pelumba berusia 18 tahun itu mengakui proses membimbing orang lain memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding ketika dia beraksi di litar lumba.

"Ini pengalaman pertama saya sebagai jurulatih. Walaupun saya masih muda dan banyak lagi yang perlu dipelajari, saya cuba berikan yang terbaik. Dalam masa sama, saya juga mempelajari sesuatu.

"Saya berharap apa yang saya ajarkan dapat memberi manfaat kepada peserta. Program ini sangat bagus kerana ia bukan sahaja mengasah teknik, malah mendidik peserta mengenai disiplin dan keselamatan litar yang sering dipandang remeh," kata Hakim Danish yang akan beraksi secara sepenuh musim di pentas Moto3 musim depan.

Antara pengisian utama dalam BRE termasuklah teknik membrek secara berkesan, cara mengambil selekoh yang betul, serta pemilihan garisan perlumbaan yang efisien dengan kesemua elemen ini amat penting bagi memastikan setiap peserta dapat menikmati tunggangan di trek dengan tahap risiko yang paling rendah.