PELUMBA 'Wildcard' GP Malaysia 2024? SIC Belum Ada Jawapan

TERKINI

8/20/20241 min read

TIADA perkembangan menarik atau konkrit setakat ini dapat diumumkan SIC Petronas membabitkan persoalan sama ada Malaysia akan memiliki pelumba secara 'Wildcard' pada GP Malaysia 2024.

Seperti diketahui, Malaysia pada tahun ini tidak mempunyai pelumba tetap yang beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia seperti tahun lalu.

Menurut CEO SIC Petronas, Azhan Shafriman Hanif ketika sidang media GP Malaysia 2024, hari ini, belum ada pelumba negara disenaraikan untuk beraksi dengan tiket 'Wildcard' untuk edisi kali ini.

Tidak menolak kemungkinan slot itu mungkin terisi, antara kekangan yang membelenggu pihaknya adalah membabitkan dana selain ketersediaan tempat untuk 'tiket' berkenaan.

"Tidak mustahil kita akan mempunyai pelumba 'wildcard' di GP Malaysia 2024 tetapi ketika ini, semuanya bergantung kepada dana yang serta tempat untuk slot berkenaan," kata Shafriman.

"Kita mempunyai pelumba dan bakat yang boleh mengisi tempat berkenaan antaranya Danial Syahmi Shahril tetapi kami mengharapkan ada pihak terutama korporat untuk merealisasikan perkara ini.

"Kita tidak mahu membebankan pihak kerajaan mengenai perkara ini dan kerana itu, sokongan pihak luar bagi mendapatkan dana berkenaan adalah diharapkan."

Berdasarkan peraturan Kejuaraan Motosikal Dunia, tarikh akhir untuk permohonan menyenaraikan pelumba 'Wildcard' kepada penganjur, Dorna adalah 45 hari sebelum perlumbaan berlangsung.

Tahun lalu, Malaysia mempunyai dua wakil yang beraksi secara 'Wildcard' dalam kelas Moto2 menerusi Azroy Hakeem Anuar dan Md Helmi Azman bersama pasukan Petronas MIE Racing dalam kelas Moto2 selain Syarifudin Azman atau Damok yang beraksi secara semusim penuh di Moto3.