PELUMBA Yang Berjaya Buat Marc Marquez 'Terkejut' Di Ujian Pra-Musim

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/16/20251 min read

MARC Marquez berkata prestasi yang ditampilkan adiknya, Alex Marquez sebagai 'kejutan terbesar' ketika ujian pra-musim MotoGP 2025.

Pelumba Gresini Ducati, Alex akan berlumba menggunakan jentera Ducati GP24 musim ini.

Tidak menunggu lama, pelumba kelahiran Sepanyol itu melakukan catatan terpantas ketika ujian di Barcelona, November tahun lalu dan mengulanginya di Sepang, awal bulan ini.

Sekalipun dikalahkan oleh Marc pada ujian di Buriram, Alex kekal kompetitif dan melakukan catatan kedua terpantas pada kedua-dua hari ujian.

Tidak seperti pelumba pasukan 'kilang' yang perlu menguji pelbagai komponen baharu, Alex hanya fokus kepada adaptasi terhadap jentera GP24 dan keputusan diperoleh menyaksikannya diletakkan sebagai pencabar kejuaraan.

"Di Barcelona dia amat pantas, tetapi di Malaysia, saya cuba mengalahkannya tetapi ia tidak berlaku ketika simulasi perlumbaan Sprint dan dia menewaskan saya," kata Marc memetik laporan Crash.net.

"Jadi sejujurnya, ia bukan kerana dia adalah adik saya tetapi kejutan terbesar pada pra-musim.

"Saya tahu, kerana saya mengenalinya, dan apabila dia dapat meletakkan segala-galanya dalam kawalan dan apabila dia memiliki jentera yang dia boleh tunggang dengan baik, kerana ia amat peka terhadap jentera, dia amat memahami apa yang dia perlukan.

"Apabila dia memperolehnya, dia menunggang dengan amat laju, bukan saja di Catalunya dan Malaysia, juga di sini (Thailand) yang juga litar yang amat berbeza dan mempunyai banyak lokasi membrek kuat."

Alex memulakan kariernya sebagai pelumba Ducati pada musim 2023 dengan menyertai Gresini menggunakan jentera Ducati GP22 dan pantas mencipta kejutan apabila berjaya menaiki beberapa podium dan dua kemenangan Sprint.