PEMILIK F1 'Hampir' Nak Dapatkan Hak Penganjuran MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODASUKAN PERMOTORAN 4 RODA
3/28/20241 min read
PEMILIK Formula 1 (F1), Liberty Media dilaporkan sudah mengadakan perbincangan eksklusif untuk mendapatkan hak penganjuran MotoGP daripada Dorna dengan nilai € 4 bilion (RM 20.48 bilion).
Memetik laporan Financial Times, perjanjian itu sudah pun 'dimuktamadkan' yang menyaksikan penyatuan dua perlumbaan elit dua roda dan empat roda itu kini akan berada di bawah satu bumbung.
Dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat seawal minggu depan, menurut laporan itu.
Selain Liberty Media, turut bersaing mendapatkan hak berkenaan adalah TKO, syarikat yang memiliki francais sukan bela diri UFC dan WWE.
Turut berminat adalah firma dari Timur Tengah, Qatar Sports Investments yang turut memiliki Paris-Saint Germain.
Begitupun perjanjian membabitkan Liberty Media dan Dorna dijangka akan berdepan siasatan, menurut laporan itu lagi.
Sebelum ini, F1 dan MotoGP pernah dimiliki syarikat sama iaitu firma ekuiti swasta, CVC Capital Partners. Tetapi CVC terpaksa menjual MotoGP apabila mereka membeli F1 berukutan peraturan di Eropah.
Pengambil alihan F1 oleh Liberty Media sejak 2027 dikatakan membawa kepada perkembangan sukan elit itu.
Menerusi siri televisyen Netflix 'Drive To Survive', ia meningkatkan jumlah peminatnya dengan F1 turut mencipta impak di media sosial.
Di bawah Liberty Media, jumlah perlumbaan F1 juga meningkat dengan kemasukan Las Vegas, Miami, Jeddah dan Doha.
Tetapi apa yang lebih menarik, berdasarkan laporan Financial Times, keuntungan operasi F1 pada tahun 2023 adalah $ 392 juta (RM 1.85 bilion), peningkatan 64 peratus berbanding 2022. Pendapatan pula meningkat daripada $ 2.5 bilion (RM 11.83 bilion) kepada $ 3.2 bilion (RM 15.14 bilion).
Sebagai perbandingan, pendapatan Dorna pada tahun 2023 adalah € 483 juta (RM 2.28 bilion).