PEMILIK F1 Rancang Ambil Alih MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/27/20241 min read

PEMILIK eksklusif sukan perlumbaan termahal dunia, Formula Satu (F1), Liberty Media dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih penganjuran perlumbaan elit 2 roda, MotoGP.

Ketika ini, hak penganjuran MotoGP dipegang oleh syarikat berpangkalan di Sepanyol, Dorna dengan laporan mengenai perbincangan itu dilaporkan oleh media Sepanyol, Expansion.

Sekalipun khabar angin mengenai penjualan Dorna masih belum rasmi, Liberty Media dikatakan akan menggunakan syarikat pengurusan dana aset Bridgepoint mengenai pengambilalihan itu.

Kepada yang tidak tahu, Forbes pada tahun lalu menyenaraikan Liberty Media sebagai empayar sukan paling berharga di dunia.

Syarikat itu dikatakan bernilai $AS 18.2 bilion (RM 86.67 bilion).

Liberty Media sebelum ini mengambil alih hak penganjuran F1 daripada Bernie Ecclestone pada 2017 dan populariti sukan itu dikatakan terus meningkat.

Dan seandainya pengambilalihan itu berjaya, ia akan terus meningkatkan portfolio Liberty Media yang menyaksikan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan mengawal dua siri perlumbaan terbesar dunia.

Khabar angin dan laporan mengenai penjualan Dorna sudah beberapa dimainkan sebelum ini dan ia turut diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Selain Liberty Media, beberapa syarikat pelaburan utama antara CVC dan KKR turut berminat dengan pengambilalihan itu.