PEMILIK MotoGP Sahkan Sensasi F1 Minat Nak Beli Pasukan MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/13/20241 min read

JUARA dunia tujuh kali Formula 1 (F1), Lewis Hamilton betul-betul berminat untuk menjadi pemilik pasukan di MotoGP, dedah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liberty Media, Greg Maffei.

Perkembangan itu diperoleh sejurus firma Amerika Syarikat itu diumumkan sebagai pemilik baharu kejuaraan elit motosikal dunia itu pada tahun ini.

Liberty Media yang juga pemilik F1 mengumumkan perjanjian pembelian majoriti saham MotoGP pada April lalu dengan nilai € 4.2 bilion (RM 18.13 bilion).

Begitupun, syarikat itu masih perlu menunggu kelulusan berdasarkan peraturan yang ditetapkan Kesatuan Eropah dan berharap ia dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini.

"Apabila kami mengumumkannya (pembelian MotoGP), kami dengan pantas menerima panggilan dan mereka berkata 'Saya mahu membeli pasukan', termasuk individu seperti Lewis Hamilton," kata Maffei dalam satu persidangan.

"Mengapa? Kerana mereka melihat apa yang berlaku kepada F1 dan mereka mahu mengikutinya.

"Kami menerima panggilan daripada pengedar utama dan berkata 'kami mahu terbabit' dan malangnya, saya perlu memberitahu mereka yang 'kami tidak boleh bercakap mengenainya sehingga mendapat kelulusan EU'.

"Kami gemar untuk berbincang mengenainya apabila kami mendapat kelulusan."

Sememangnya meminati MotoGP, pelumba pasukan Petronas AMG Mercedes, Hamilton dikhabarkan berminat untuk membeli pasukan Gresini Racing sekalipun turut memberitahu kenyataan sebelum ini hanya jenaka.

Mengulas lanjut, Maffei berkata MotoGP adalah produk yang mempunyai tarikan yang luar biasa.

"Untuk melihat individu menunggang motosikal pada kelajuan 354 km/j, dipisahkan enam inci daripada antara satu sama lain adalah menakjubkan," kata Maffei.

"Dan aktiviti memintas di sana betul-betul mengagumkan. Ia produk yang menakjubkan. Tetapi sedikit mengecewakan adalah ia kurang dikenali di Amerika Syarikat. Saya fikir adalah peluang untuk mengembangkannya."