PENALTI Tak Ubah Mentaliti Marco Bezzecchi
Marco Bezzecchi kini berada di tangga keempat carta kedudukan kejuaraan MotoGP dunia dan ketinggalan 20 mata di belakang pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia yang menduduki tempat ketiga
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/16/20251 min read


PELUMBA Aprilia Racing, Marco Bezzecchi menegaskan hukuman penalti dua 'long lap' yang dikenakan kepadanya susulan insiden dengan Marc Marquez di Grand Prix (GP) Indonesia tidak akan mengubah pendekatannya menjelang perlumbaan GP Australia, hujung minggu ini.
Bezzecchi kini berada di tangga keempat carta kedudukan kejuaraan dunia dan ketinggalan 20 mata di belakang pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia yang menduduki tempat ketiga.
Mengakui keputusan Pengarah Perlumbaan adalah muktamad dan menghormatinya, tetapi pelumba kelahiran Itali itu menegaskan situasi itu tidak mengubah mentalitinya.
"Saya akan cuba beri sega-galalanya, lakukan yang terbaik sepanjang tiga hari perlumbaan ini,” katanya ketika ditemui di Phillip Island.
Begitupun, penalti itu hanya terpakai pada perlumbaan utama pada Ahad tetapi ia tetap dijangka menyebabkan Bezzecchi kehilangan sekitar enam hingga lapan saat serta kedudukan di trek.
Mengulas insiden di Mandalika, Bezzecchi sekali lagi berkata dia sudah memohon maaf atas apa yang berlaku kepada Marquez.
“Saya tidak sangka begitu laju di selekoh itu. Saya cuba elak perlanggaran sebaik mungkin, tetapi akhirnya tersentuh sedikit bahagian belakang jentera Marc. Malangnya akibatnya besar kerana dia terjatuh ke kawasan gravel dan cedera,” katanya.
Pelumba Itali itu turut mendedahkan dirinya juga terjatuh selepas melalui kawasan gravel, namun menegaskan insiden tersebut adalah sebahagian daripada risiko perlumbaan.
“Saya benar-benar kesal. Sudah tentu saya tidak mahu menjejaskan sesiapa, termasuk diri saya sendiri. Tetapi inilah lumba, perkara sebegini boleh berlaku.
“Saya akan terus berikan yang terbaik. Penalti ini tidak akan mengubah semangat saya,” katanya.

