PENAMPILAN 'A', Spesifikasi Padu, Morbidelli T502X Tiba Di Malaysia, RM 28,888!
Selain tiba pada harga cukup menarik terutama dalam kelasnya, RM 28,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), apa yang mengunakan adalah rekaan Morbidelli T502X yang mempunyai aura sebuah motosikal premium
TERKINI
4/16/20261 min read


SUSULAN pelancarannya pada penghujung tahun lalu di China, maklum balas yang diterima motosikal bergaya 'Adventure touring' Morbidelli T502X boleh dikatakan cukup positif dan model berkenaan akhirnya diumumkan sudah 'mendarat' di pasaran tempatan.
Selain tiba pada harga cukup menarik terutama dalam kelasnya, RM 28,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), apa yang mengunakan adalah rekaan Morbidelli T502X yang mempunyai aura sebuah motosikal premium.
Sebelum pergi lebih jauh, dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Bulk Black dan Thunder Blue.
Diposisi dalam segmen aras tengah, Morbidelli T502X tampak cukup sesuai buat penunggang yang mencari motosikal kembara berkapasiti sederhana dengan keupayaan merentasi pelbagai permukaan.
Ulas trenkuasa, Morbidelli T502X dijana enjin 486 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap klac 'Slipper'.
Kuasa yang dihasilkan adalah 46.9 Hp pada 8,500 rpm dan tork 45 Nm pada 6,750 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dengan jarak gerak 180 mm depan dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerak 69 mm (belakang) boleh laras (rebound dan compression).
Sistem brek pula dijana cakera berkembar bersaiz 300 mm dengan kaliper J.JUAN 8 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi-saluran.
Menggunakan panel meter TFT 7 inci, ia turut menyokong sistem T-BOX, integrasi aplikasi Morbidelli serta sambungan Bluetooth yang menawarkan fungsi notifikasi panggilan, screen mirroring dan navigasi.
Memiliki 2 mod tunggangan (Standard dan Off-Road), ciri-ciri menarik membabitkan teknologi bantuan tunggangan lain merangkumi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Pengecas USB Type-A, C
Set roda 110/80-19 (depan), 150/70-17 (belakang)
Tinggi pelana 830 mm
Lega bumi 210 mm
Visor angin boleh laras
Pelindung tangan
Tangki petrol 18 liter
Berat 210 kg
Selain itu, turut mengujakan terutama buat pembeli adalah kotak simpanan yang terdiri daripada dua kotak sisi berkapasiti 32 liter setiap satu dan satu kotak atas 45 liter yang datang secara standard.
Setiap pembelian setiap pembelian Morbidelli T502X boleh menikmati jaminan iaitu perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

