PENAMPILAN khas KIP Bersama Petronas MIE Honda Racing Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/27/20231 min read

PELUMBA yang popular dengan gelaran Super KIP, Khairul Idham Pawi akan membuat penampilan sulungnya di Kejuaraan Superbike Dunia dalam kelas WorldSSP di pusingan terakhir di Jerez, Sepanyol minggu ini.

Bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu akan beraksi bersama pasukan Petronas MIE Honda Racing menerusi tiket 'Wildcard'.

Mencipta sejarah menjadi pelumba pertama negara merangkul kemenangan di Kejuaraan Motosikal Dunia (Moto3) pada 2016, KIP ketika ini berlumba di pentas Asia, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Dan penampilannya pada musim ini boleh dikatakan baik dengan memimpin carta kelas SS600 di kejuaraan berkenaan.

Juga di Jerez, tempat Adam Norrodin yang masih lagi belum cergas sepenuhnya akan sekali lagi diisi oleh adiknya, Ibrahim Norrodin.

Sementara itu, penampilan KIP di Jerez juga seakan memberi petanda atau ujian bagi mengisi tiket 'Wildcard' GP Malaysia 2023 dalam kelas Moto2 bulan depan.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara berkenaan diumumkan mana-mana pihak tetapi bos SIC dalam satu majlis memberi bayangan ia berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan.