PENAMPILAN Sulung Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Di Malaysia, Hujung Minggu ini Di AoS 2023!

TULAR

7/26/20231 min read

SEJAK Royal Enfield Super Meteor 650 diperkenalkan di acara berprestij, Pameran Motosikal Milan (EICMA) pada tahun lalu, ramai peminat motosikal bergaya kruiser itu ternanti-nanti bilakah ia akan tiba ke pasaran tempatan.

Dan persoalan itu bakal menemui noktahnya tak lama lagi, lebih tepat pada minggu ini di acara Art of Speed (AoS) 2023 yang bakal berlangsung di Maeps.

Begitupun jangan terlalu teruja dulu kerana difahamkan, kehadiran Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) di acara berkenaan hanya sebagai 'mukadimah' sebelum pelancaran rasminya.

Mengulas bahagian trenkuasa, Royal Enfield Super Meteor 650 dipadankan dengan platform enjin yang sama dengan model Continental GT 650 dan Interceptor 650 yang sudah dijual di pasaran tempatan.

Sekalipun dipacu trenkuasa yang sama, ia tampil dengan kerangka yang berbeza termasuk lengan ayun baharu. Dan lebih menarik, ia adalah model pertama Royal Enfield yang dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) dan penggunaan sistem lampu LED penuh.

Dijana enjin bersesaran 650 cc, 2 Silinder Parellel Twin, 8 Injap, Penyejuk Air/Minyak, Suntikan Bahan Api, ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual. Kuasa yang dihamburkan dikatakan berada pada angka 47 PS pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

Dengan berat 241 kg, suspensi belakang motosikal ini dijana penyerap hentak berkembar dengan ciri pelarasan (preload).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 300 mm juga dengan kaliper 2 piston lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Di bahagian panel meter, ia menggunakan kombinasi analog/digital yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar. Informasi lain adalah seperti set roda bersaiz 100/90-19 (depan) dan 150/80-16 (belakang), kapasiti bahan bakar 15.7 liter dan pengecas USB.

Di pasaran global, Royal Enfield Super Meteor 650 dijual dalam dua versi iaitu Standard dan Tourer yang datang dengan pelbagai aksesori menarik seperti visor angin.

Kepada yang mahukan maklumat lebih lanjut, nantikan laporan kami pada Sabtu ini.