PENANTIAN Bakal Berakhir, MForce Lancar SYM ADX 400 (2025) Minggu Depan?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/5/20251 min read

BUKAN rahsia SYM Malaysia menerusi MForce Malaysia akan melancarkan penawaran terbaharu jenama Taiwan, SYM ADXTG atau akan dikenali SYM ADX 400 (2025) di pasaran tempatan pada bulan ini.

Dan perkembangan terbaharu yang diperoleh, syarikat itu sudah mempunyai tarikh bila pelancaran skuter menarik itu akan dibuat.

Berdasarkan maklumat, MForce Bike akan mengadakan majlis pelancaran model baharu pada 16 Mei ini di ibu negara dengan jemputan sudah pun sudah pun diberikan kepada pihak media.

Sekalipun tidak mendedahkan model apa yang akan dilancarkan, apa yang lebih menarik, poster jemputan berkenaan menampilkan gambar harimau Smilodon yang turut dikenali 'Sabre-tooth tiger'.

Seperti diketahui, pihak MForce Bike pada bulan lalu membawa rombongan media tempatan ke Taiwan bagi menguji ringkas skuter berkenaan dengan maklum balas yang diperoleh cukup positif.

Ulas ringkas spesifikasi SYM ADXTG, skuter bergaya 'Adventure' ini dipadankan dengan enjin bersesaran 399 cc, 1 Silinder dengan kuasa dihamburkan adalah sekitar 35 Hp dengan tork 37 Nm.

Apa yang menarik, tidak seperti skuter konvensional, sekali pun masih menggunakan transmisi CVT, pacuan akhir tidak menggunakan tali sawat tetapi rantai.

Dan menambah 'kekacakan' skuter ini, ia turut menggunakan lengan ayun aluminium seperti motosikal biasa berikutan enjin yang diposisikan di bahagian tengah skuter berkenaan.

Dalam satu majlis pada bulan lalu, bos MForce Bike, Asri Ahmad turut mendedahkan harga yang akan ditawarkan untuk SYM ADX 400 pasti akan menarik dengan angka bawah RM 29k.