PENANTIAN bakal berakhir, Yamaha XMax 250 'X Baharu' Lancar Bulan Ini?

TULAR

7/13/20231 min read

SATU perkembangan yang mungkin antara paling mengujakan buat peminat Yamaha, khususnya Yamaha XMax di Malaysia apabila versi terbaharu skuter maxi itu katanya akan membuat penampilan rasmi pada bulan ini (Julai 2023).

Setakat ini, Yamaha Motor Malaysia (Hong Leong Yamaha Motor) belum membuat sebarang hebahan di media sosial rasmi syarikat itu atau kenyataan rasmi tetapi menurut sumber, penantian itu bakal berakhir berkemungkinan besar sebelum Julai melabuhkan tirai.

Kepada yang mengikuti perkembangan mengenai Yamaha XMax 250 'baharu' di Malaysia, skuter berkenaan sudah banyak kali diintip menjalani ujian jalan raya sejak awal tahun ini lagi.

Dan kehadiran Yamaha XMax 250 di Malaysia bukan saja hanya dijangka, malah boleh dikatakan hampir pasti apabila ia membuat debut globalnya di Indonesia pada November tahun lalu.

Sebagai info, Yamaha XMax baharu membuat kemunculan global di Eropah pada Oktober tahun lalu dalam versi 300 dan 125. Untuk versi 250, ia dibangunkan Yamaha khusus untuk pasaran seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Dan sebagai antara negara di mana Yamaha XMax 250 boleh dikatakan 'raja' dalam kelasnya, penampilannya di pasaran tempatan boleh disifatkan hanya menunggu masa.

Tiba sebagai model yang boleh dikatakan serba baharu, tiada perubahan besar yang dilakukan Yamaha dari sudut trenkuasa.

Tetapi dari sudut rekaan, ia mengalami perubahan yang cukup besar dari pelbagai sisi, terutama rekaan bahagian depan dan belakang yang memang mengambil inspirasi 'X'.

Selain itu, antara naik taraf yang mengujakan ialah penggunaan panel meter digital penuh TFT berwarna yang turut memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit dan navigasi.

Apa yang lebih menarik, di bahagian atas panel tersebut adalah skrin digital LCD yang memaparkan informasi seperti speedometer dan sebagainya.

Sebagai antara model laku keras Yamaha, apa yang merunsingkan adalah persoalan mengenai harga jualan yang bakal ditetapkan HLYM dan adakah peminat tempatan bersedia untuk mendengar angkanya? Sama-sama kita nantikan pelancarannya.