PENANTIAN Berakhir, VOGE SR450X Sampai Cawangan Pengedar MForce Bike!

MForce Bike sebelum ini menjelaskan VOGE SR450X dijadualkan tiba lebih awal tetapi kelewatan berlaku berikutan situasi luar jangka yang berlaku iaitu penambahbaikan yang perlu dibuat terhadap skuter berkenaan

TERKINI

10/31/20261 min read

PERKEMBANGAN menarik buat mereka yang menanti-nantikan VOGE SR450X apabila skuter bergaya 'Adventure' itu akhirnya tiba di cawangan pengedar MForce Bike.

Seperti diumumkan oleh MForce Bike sebelum ini, skuter berkenaan dijadualkan tiba pada penghujung bulan ini tetapi tarikh berkenaan sebenarnya sudah pun terlewat.

Begitupun, kelewatan berkenaan adalah bersebab kerana ia membabitkan situasi luar jangka menerusi penambahbaikan yang perlu dibuat.

Menurut maklumat yang diperoleh, proses pemasangan model VOGE SR450X di Malaysia mengalami kelewatan berikutan pihak VOGE melakukan penambahbaikan ke atas bahagian tangki bahan api.

Penambahbaikan ini dilakukan selepas VOGE menerima maklum balas dari beberapa negara yang sudah memasarkan skuter berkenaan.

Berikutan itu, MForce Bike selaku pengedar eksklusif VOGE di Malaysia diarahkan untuk menangguhkan proses pemasangan untuk menantikan unit tangki baru yang dipertingkatkan dari China.

Sejak membuat kemunculan di pentas MotoXperience 2026 pada Mei lalu, Voge SR450X yang dipacu enjin 398 cc, 2 Silinder Sebaris dan menghamburkan kuasa 42 Hp dan tork 44 Nm dikatakan menerima sambutan hangat dengan ribuan tempahan diterima berikutan harga jualan menarik RM 29,888 (asas).