PENANTIAN Berakhir, Yamaha XSR155 (2026) Lancar Di Malaysia, RM 12,998!

Membawa reka bentuk neo-retro yang segar, Yamaha XSR155 (2026) menggabungkan estetika motosikal klasik dengan teknologi moden dan diumumkan pada harga jualan disyorkan yang cukup menarik - RM 12,998

PELANCARAN

8/9/20261 min read

SELEPAS sekian lama berteka-teki, Yamaha Motor Malaysia akhirnya melancarkan model yang diposisikan dalam segmen 'Sport Heritage' yang dinanti-nantikan kelibatnya di pasaran tempatan, Yamaha XSR155 (2026).

Membawa reka bentuk neo-retro yang segar, Yamaha XSR155 (2026) menggabungkan estetika motosikal klasik dengan teknologi moden dan diumumkan pada harga jualan disyorkan yang cukup menarik - RM 12,998 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

3 pilihan warna tersedia iaitu:

  • Evergreen

  • Classic Silver

  • Royal Black

Tampil dengan falsafah 'Xpresi Gayaku', Yamaha XSR155 (2026) diposisikan dalam segmen gaya hidup dan direka khusus buat mereka yang bukan saja mahu menjadikan motosikal sekadar kenderaan harian, namun menonjolkan personaliti diri.

Dari sudut penampilan, keunikan Yamaha XSR155 (2026) ditingkatkan menerusi rekaan lampu hadapan dan belakang berbentuk bulat, paparan kluster instrumen klasik, serta tangki bahan api berkapasiti 10 liter dengan garisan badan yang cukup kemas.

Sentuhan premium turut dapat dilihat pada pendakap lampu hadapan dan 'subframe', di samping penggunaan pelindung ekzos serta pelana yang ergonomik.

Di sebalik wajah klasiknya, Yamaha XSR155 (2026) dijana oleh trenkuasa yang cukup dikenali di pasaran iaitu enjin dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Fi, SOHC.

Dipadakan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan ciri Klac Assist & Slipper (A&S), kuasa yang dihamburkan berada pada angka 18.9 Hp @ 10,000 rpm dan tork 14.4 Nm @ 8,500 rpm.

Untuk memastikan pengendalian terpuji, Yamaha XSR155 (2026) dipadankan dengan kerangka Deltabox berketegaran tinggi serta penggunaan suspensi fork depan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang) yang turut meningkatkan penampilannya.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal (depan/belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.

Info lain:

  • Set roda 110/70-17 (depan), 140/70-17 (belakang)

  • Tinggi pelana 810 mm

  • Lampu LED penuh

  • Tangki bahan api 10 liter

  • Berat 137 kg

Yamaha Motor Malaysia turut mengakui kehadiran Yamaha XSR155 (2026) membuka ruang tanpa batas untuk budaya kustom dan kerana itu, mereka turut merancang untuk memperkenalkan koleksi pakaian dan cenderamata eksklusif.

Yamaha XSR155 (2026) dijangka akan tiba di semua cawangan pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula Q4 2026.