PENANTIAN Tamat, Modenas Versys 650 (2023) Rasmi Di Malaysia, Harga Mula RM 38.4k!
PELANCARAN
7/17/20232 min read
MODENAS Versys 650 (2023), salah satu model 'Sport Touring' yang ditunggu-tunggu kehadirannya di pasaran tempatan akhirnya membuat penampilan rasminya, hari ini.
Terkenal sebagai model yang memiliki fleksibiliti dan prestasi dan cukup digemari peminat segmen jelajah atau pengembaraan, Modenas Versys 650 (2023) adalah model yang sentiasa mendapat peningkatan daripada Kawasaki.
Tiba dengan lencana Modenas, harga dan pilihan warna yang ditawarkan untuk Modenas Versys 650 (2023) adalah seperti berikut:
Metallic Spark Black - RM 38,400
Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black - RM 39,100
Seperti biasa, harga yang ditawarkan adalah asas dan tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Di bahagian trenkuasa, Modenas Versys 650 (2023) dijana enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 69 PS pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 7,000 rpm.
Untuk memberikan kestabilan yang baik dan perjalanan yang lebih lancar dalam pelbagai jenis jalanraya, Modenas Versys 650 (2023) turut memiliki teknologi KTRC (Kawasaki TRaction Control) yang datang dengan dua tetapan.
Sebagai model terbaharu di pasaran, Modenas Versys 650 (2023) yang tampil dengan rekaan moden dan agresif turut dilengkapi dengan sistem lampu LED penuh dan visor angin boleh laras.
Lebih menarik, sistem suspensi Modenas Versys 650 (2023) tak seperti dua lagi model 650 cc yang turut dilancarkan hari ini, tetapi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dengan ciri pelarasan (Rebound & Preload)) dan penyerap hentak tunggal juga dengan ciri pelarasan (Preload).
Di bahagian henti, sistem brek motosikal ini menggunakan cakera berkembar 300 mm dengan kaliper dua piston (depan) dan cakera berkembar 250 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Ciri-ciri menarik lain dan moden termasuklah panel meter digital TFT penuh lengkap dengan sistem sambungan telefon pintar melalui aplikasi “Rideology” oleh Kawasaki.
Sebagai motosikal 'Sport touring', antara informasi yang perlu dikongsikan adalah seperti jarak lega bumi (170 mm), kapasiti tangki bahan api (21 liter), ketinggian pelana (845 mm) dan berat 219 kg.
Kepada yang berminat, Modenas Versys 650 (2023) dijadual tiba ke cawangan pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.
Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi Modenas atau Kawasaki Malaysia di https://modenas.my/v2/, http://www.kawasaki.com.my/ atau hubungi Talian Bebas Tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di +6019-570 8135.