PENCABAR XMax, QJMotor Fort 250 (2025) Tiba Di Seberang, RM 13.7k!
TERKINI
2/12/20251 min read


MENGIKUTI laporan kehadirannya pada tahun lalu, QJMotor, syarikat pengeluar motosikal gergasi China akhirnya membuat kehadiran rasmi di pasaran Indonesia.
Dan bersempena dengan pelancarannya, QJMotor turut merasmikan empat model untuk pasaran negara berkenaan dan salah satunya adalah skuter maxi, QJMotor Fort 250 (2025).
Tidak seperti di Malaysia, pengedaran dan jualan jenama berkenaan dilakukan oleh syarikat itu sendiri menerusi PT QJMotor Industry Indonesia.
Di Malaysia, urusan pengedaran dan jualan jenama QJMotor dijalankan oleh MForce Bike Holdings.
Untuk QJMotor Fort 250 (2025), kehadiran skuter berkenaan yang dikatakan akan mencabar model seperti Yamaha XMax dan Honda Forza 250.
Seperti biasa, antara 'kelebihan' QJMotor Fort 250 (2025) adalah membabitkan harganya yang diumumkan pada angka Rp 49.990 juta (RM 13,653).
Mengulas ringkas spesifikasi QJMotor Fort 250 (2025), ia tampil dengan rekaan skuter maxi tipikal dengan dek rata.
Dipadankan dengan enjin bersesaran 249.7 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 22.7 Hp pada 8,000 rpm dan tork 24 Nm pada 6,500 rpm.
Sebagai model yang difokuskan kepada keselesaan, ia memiliki kapasiti tangki bahan api yang besar 10 liter, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan Kawalan Traksi.
Selain QJMotor Fort 250 (2025), turut dilancarkan adalah tiga model dalam segmen kruiser iaitu QJMotor SRV600v, SRV250A dan model 'Supersport' SRK 800RR.
Tidak diketahui sama ada pihak QJMotor Malaysia merancang untuk membawa masuk QJMotor Fort 250 (2025) kerana 'abang' model berkenaan, QJMotor Fort 350 cukup laris.






