PENDEDAHAN 'Menakutkan' Franco Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/21/20241 min read

FRANCO Morbidelli mendedahkan dia mengharungi tempoh 'menakutkan' susulan kemalangan ngeri yang dihadapi ketika melakukan ujian menggunakan jentera Ducati Panigale V4 pada Januari lalu.

Seperti Marc Marquez, Franco Morbidelli adalah pelumba 'rookie' di Ducati selepas disishkan Yamaha pada penghujung musim lalu.

Dan ketika menjalani sesi ujian di Portimao, Portugal, pelumba kelahiran Itali itu mengalami kemalangan ngeri yang mengakibatkan pelumba Pramac Ducati itu tidak sedarkan diri dan lebih membimbangkan, hilang ingatan.

"Saya hilang ingatan saya. Lebih kurang selama dua minggu," kata Morbidelli kepada La Reppublica.

"Saya tidak dapat mengenali orang yang amat rapat dengan saya, ahli penting dalam keluarga saya. Ia nampak seperti mustahil, tetapi...

"Saya berdepan perkara paling dibimbangkan di seluruh dunia. Kesemua mereka. Tetapi saya bernasib baik, saya memperoleh semua ingatan saya dan segalanya kembali, sedikit demi sedikit.

"Setiap hari, perincian, kadang kala lebih daripada itu, otak saya mula berfungsi semua seperti sebelum ini."

Pernah beraksi bersama Petronas Yamaha SRT dan merangkul gelaran naib juara MotoGP pada edisi 2020, Morbidelli yang dinaikkan pangkat beraksi bersama pasukan 'kilang' Monster Yamaha mengharungi tempoh mengecewakan bersama pasukan itu.

Selepas disisihkan Yamaha, juara dunia Moto2 pada 2017 itu diberikan talian hayat dengan menyertai Pramac Ducati musim ini dan menunggang jentera terbaik di MotoGP Ducati GP24.

Begitupun, kemalangan yang dihadapinya menyukarkan proses kebangkitannya termasuk terlepas dua sesi ujian pra-musim di Malaysia dan Qatar.

"Selepas dua tahun yang sukar bersama Yamaha, dan kemudian berdepan tamparan seperti itu (kemalangan), kamu merasakan ia sudah berakhir," kata Morbidelli. "Tetapi saya masih belum mengalah."

Pada 2025, Morbidelli sah meninggalkan Pramac yang menyertai Yamaha dan akan beraksi bersama pasukan mentornya, Valentino Rossi VR46 tetapi menunggang jentera spesfikasi 'lama'.