PENGALAMAN Berharga Bersaing Kelompok Depan - Qabil Irfan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/6/20241 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mengakui berpeluang untuk meraih keputusan lebih baik pada penampilan sulungnya di perlumbaan Moto4 ESBK 2024 di Jerez, semalam.

Pada Perlumbaan 1, Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando VHC Racing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6, ketinggalan 0.933 saat (s) di belakang pemenang, Enzo Zaragoza.

Zaragoza dari Sepanyol melepasi garisan penamat dengan catatan 22 minit 34.523 saat dan mengikutinya di podium adalah pelumba Itali, Leonardo Casadei.

Melengkapkan podium adalah rakan sepasukan Qabil, Eneko Osorio.

"Pada Perlumbaan 1, saya berjaya bersaing dengan kelompok depan untuk merebut tempat ketiga tetapi pada pusingan terakhir, saya hampir terjatuh," kata Qabil dalam teruramah video disediakan ZK Racing.

Mengulas perancangannya untuk Perlumbaan 2, pelumba kelahiran Terengganu itu berharap dia mampu untuk bersaing di kelompok hadapan sekali lagi.

"Esok (hari ini) saya akan cuba untuk ke hadapan lagi," katanya.

Perlumbaan 2 Moto4 ESBK 2024 dijadual ditayangkan secara langsung menerusi laman Youtube RFME - youtube.com/@RFME