PENGALAMAN, Pelajaran Terbaik Hakim Danish Sebelum Harungi Moto3 Musim Depan
Hakim Danish mengakhiri saingan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Valencia, Sepanyol dengan nota positif apabila mengutip mata dalam kedua-dua perlumbaan yang dilangsungkan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/24/20251 min read


KEMPEN 2025 secara rasmi berakhir buat Hakim Danish Ramli minggu lalu dan pelumba muda negara itu menyifatkan apa yang diharunginya pembelajaran dan persiapan terbaik sebelum mengharungi saingan lebih getir - Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 musim depan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan saingan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Valencia, Sepanyol semalam dengan nota positif apabila mengutip mata dalam kedua-dua perlumbaan yang dilangsungkan.
Mengulas kempennya musim ini, pelumba berusia 18 tahun itu berkata secara keseluruhan khususnya pada JrGP musim ini, prestasinya banyak meningkat malah banyak perkara baharu yang dapat dipelajari serta diperolehnya untuk bertambah baik.
"Tahun ini saya menamatkan saingan (JrGP) di tempat kelapan keseluruhan; ada naik dan turun, susah dan senang serta banyak perkara yang saya belajar daripada pasukan dan orang di sekeliling," kata Hakim Danish.i.
Pada aksi di Litar Ricardo Tormo, Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing MSI menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan sebelum memperbaiki keduaukan pada Perlumbaan 2 untuk meraih tempat kelapan.
Keputusan yang diraih membolehkannya menamatkan saingan keseluruhan musim ini di tangga kelapan.
"Kedua-dua perlumbaan kali ini memang sangat mencabar, semua pelumba buat yang terbaik kerana ini adalah perlumbaan penutup bagi musim 2025," katanya mengulas prestasinya di Valencia.
Selain JrGP, Hakim Danish turut melakar sejarah tersendiri apabila menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup di kedudukan ketiga keseluruhan.
Pengalaman dan 'turun naik' yang dipelajari sepanjang tahun ini menjadi bekalan penting buat Hakim Danish yang disahkan bakal beraksi secara sepenuh masa dalam Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto3 pada musim depan bersama pasukan MT Helmets MSI.
Pelumba itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan MT MSi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Terengganu Inc, RCB, ZK Racing dan semua rakyat Malaysia kerana menyokong karier saya," katanya.

