PENGALAMAN Sukar Buat Hakim Danish, Danial Syahmi Di JrGP Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/23/20241 min read

PERLUMBAAN Pusingan 4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Portimao, Portugal jelas menghadirkan pengalaman sukar buat kedua-dua pelumba negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril.

Buat Hakim Danish, sekalipun menamatkan kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan dalam pungutan mata, ia jelas bukan keputusan yang diharapkan sebelum aksi berlangsung.

Pada Perlumbaan 1, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 sebelum terkeluar daripada kelompok 10 terbaik pada Perlumbaan 2 selepas melepasi garisan penamat di tangga ke-11.

Sedikit mengecewakan, kesilapan penganjur turut menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu diposisikan di kedudukan kelima Perlumbaan 1 sebelum ia diubah.

Sementara itu, situasi lebih sukar terpaksa diharungi Danial Syahmi apabila pulang daripada Portimao tanpa pungutan mata.

Selepas terpaksa meninggalkan Perlumbaan 1 lebih awal susulan kemalangan, pelumba kelahiran Pulau Pinang itu sekadar menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-17.

Keputusan di Portugal menyaksikan Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing-MSi kekal di kedudukan ke-12 carta kedudukan pelumba selepas mengutip 35 mata.

Tetapi tanpa pungutan mata, Danial Syahmi jatuh ke kedudukan ke-17 berbanding 13 sebelum ini dengan mengumpul 20 mata.

Kempen JrGP 2024 akan berehat panjang selepas ini dengan Pusingan 5 yang dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol akan berlangsung daripada 13 hingga 15 September depan.