PENGALAMAN Sukar Dengan DUCATI GP23 Bantu Alex Marquez Sesuaikan Diri Ducati GP24

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/9/20251 min read

ALEX Marquez jelas cukup 'serasi' dengan jentera Ducati GP24 dan ia dibuktikan dengan prestasi cemerlang ketika ujian pra-musim dan pusingan pembuka tirai MotoGP di Grand Prix Thailand 2025.

Pada aksi di Buriram, pelumba pasukan Gresini Ducati itu merangkul dua kedudukan kedua ketika Perlumbaan Sprint dan Perlumbaan Grand Prix di belakang abangnya Marc Marquez.

Seperti kebanyakan pelumba lain yang menggunakan Ducati GP23 tahun lalu, Alex turut berdepan kepayahan untuk menyesuaikan diri dan hanya memperoleh satu kedudukan podium sebelum menamatkan kempen di kedudukan ke-8 keseluruhan.

Dan pelumba kelahiran Sepanyol itu mendedahkan dia tidak mampu menunggang dengan gayanya bersama Ducati GP23 tetapi situasi berkenaan membenarkannya untuk mengadaptasi Ducati GP24 dengan baik.

"Dengan jentera tahun lalu (Ducati GP23), saya banyak bergelut daripada pelbagai sudut, terutama dengan gaya tunggangan saya," kata Alex memetik laporan Crash.net.

"Tetapi semua pengalaman yang saya ambil daripada jentera itu kini membantu saya, jadi segala-galanya bukan sesuatu yang buruk.

"Tahun-tahun sukar adalah tempoh di mana kamu paling banyak belajar, seperti berganda berbanding tahun yang normal.

"Jadi kini kami berada dalam keadaan yang baik, tetapi saya fikir yang kami boleh mengambil sedikit manfaat daripada jentera 2024 dan masih ada beberapa tempat yang kami perlu terus pertingkatkan."

Pada tahun lalu, pembekal tayar Michelin memperkenalkan tayar belakang baharu yang menyaksikan keseimbangan cengkaman di antara tayar belakang dan depan yang cukup 'serasi' dengan Ducati GP23 hilang.

Dan cengkaman tambahan untuk tayar belakang bermakna tugas mengambil selekoh menggunakan GP23 lebih sukar berbanding pelumba yang menggunakan GP24 seperti Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.

"Saya amat menikmatinya sejak hari pertama saya mencuba jentera ini (Ducati GP24)," kata Marquez selepas GP Thailand.

"Kami sudah cukup pada ujian pertama di Catalunya dengan jentera ini dan saya mampu menunggangnya seperti yang saya mahu dan menikmatinya. Ia adalah sasaran utama saya, jika kamu menikmatinya, kamu akan laju."