PENGELUARAN Yamaha R1, R1M Bakal Dihentikan, Tapi...

TERKINI

2/23/20241 min read

YAMAHA Motor UK, beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan yang syarikat itu akan menghentikan pengeluaran motosikal 'Superbike' popularnya, Yamaha R1 dan R1M di pasaran negara berkenaan.

Perkembangan berkenaan menyaksikan Yamaha akhirnya mengikuti jejak langkah Suzuki yang turut menghentikan pengeluaran 'Superbike' aras tingginya, Suzuki GSX-R1000R pada penghujung 2022.

Yamaha sebelum ini sudah menghentikan penjualan Yamaha R6 di Eropah berikutan ia tidak mematuhi piawaian emisi terkini namun motosikal berkenaan masih dijual bagi kegunaan atas litar.

Berikut adalah kenyataan rasmi daripada Yamaha Motor UK:

"Kumpulan Yamaha Motor membuat keputusan untuk tidak membangunkan versi R1 atau R1M yang mematuhi EU5+ sebaliknya memberikan fokus kepada perniagaan pertengahan lain dan strategi produk yang akan memberikan peluang di masa depan."

Menurut laporan media terutama di UK, berita berkenaan tidak begitu mengejutkan kerana sudah dijangka pengeluar-pengeluar utama ini akan 'keluar' daripada segmen premium, tinggi nilai namun kurang jualan untuk memberikan lebih perhatian kepada model yang boleh dijual dalam skala tinggi.

Antara halangan Yamaha untuk membangunkan Yamaha R1 dan R1M yang mematuhi piawaian emisi terbaharu adalah ia memang memakan kos yang amat tinggi dan berpotensi merugikan.

Dan berdasarkan kehendak semasa, pengguna ketika ini lebih menggemari 'Sportbike' yang kurang 'hardcore' dan lebih mudah dikawal seperti Yamaha R7 dan Aprilia RS660.

Justeru, Yamaha juga ketika ini sedang membangunkan sebuah lagi model 'Sportbike' yang berkemungkinan menggunakan nama Yamaha R9 yang dipadankan dengan enjin CP3 yang sama dengan Yamaha MT-09.

Tidak diketahui sama ada perkembangan ini hanya membabitkan pasaran di Eropah sahaja kerana seperti diketahui, pasaran Asia dan Amerika mempunyai piawaian yang berbeza.