PENGGANTI Honda CB500X Didedahkan, Inilah Honda NX500 (2024)

TERKINI

11/20/20231 min read

HONDA Motor Corp mengemaskini penawarannya dalam siri 500, baru-baru ini dan antara paling mendapat perhatian adalah Honda NX500 (2024), model yang dijadual menggantikan Honda CB500X di peringkat global.

Sekalipun NX500 adalah model baharu, begitupun penggunaan 'NX' untuk Honda bukanlah asing dan pernah digunakan untuk model seperti Honda NX650 Dominator pada era 1988 hingga 2003.

Menurut Honda, 'NX' bermaksud 'New X-over' dan selaras dengan maknanya, ia menjadi model serba baharu berbanding CB500X termasuk rekaan, sistem suspensi, rim lebih ringan dan turut memiliki Kawalan Traksi.

Begitupun dari sudut rekaan, dapat dilihat rupa bentuk 'fairing' Honda NX500 (2024) mendapat inspirasi daripada Honda Transalp baharu.

Di bahagian trenkuasa, Honda NX500 (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 471 cc, 2 Silinder Parallel-Twin yang sama seperti digunakan di Honda CB500X tetapi mendapat sedikit kemas kini yang menjadikannya enjinnya lebih lancar.

Sistem transmisi adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Assist & Slipper'.

Kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 46.9 Hp pada 8,600 rpm dan tork 43.11 Nm pada 6,500 rpm.

Turut dikemaskini adalah sistem suntikan bahan api bagi meningkatkan pecutan ketika 'low rpm' dan hamburan kuasa keseluruhan Honda NX500 (2024) selain penambahan Sistem Kawalan Traksi yang boleh dinyahaktif.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) dari jenama Showa 41 mm 'Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP)' dan penyerap hentak tunggal (belakang) lengkap dengan ciri pelarasan (preload, Spring rate & damping).

Sistem brek menggunakan cakera kembar bersaiz 296 mm dengan kaliper 2 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston di belakang.

Di bahagian panel meter, ia kini menggunakan panel TFT berwarna 5 inci lengkap dengan sistem sambungan ke telefon pintar.

Di bahagian roda, Honda NX500 (2024) turut dipadankan dengan rim 'Sport' 5 'spoke' berbanding '7 'spoke' seperti digunakan Honda CB500X dan ia 1.5 kg lebih ringan.

Setakat ini, tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk Honda NX500 (2024) iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Horizon.

Tak diketahui sama ada pihak Boon Siew Honda berminat untuk membawa Honda NX500 (2024) ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada populariti yang berjaya dicapai Honda CB500X, ia memang tidak mustahil.