PENGGANTI RNF, Trackhouse Aprilia MotoGP, Dedah 'Liveri' 2024, Inspirasi Bendera 'Amerika Syarikat'!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/27/20241 min read

TRACKHOUSE Aprilia, pasukan yang menggantikan RNF Racing di grid MotoGP musim 2024 mendedahkan 'Liveri' pasukan itu yang jelas mendapat inspirasi daripada bendera negara Amerika Syarikat (AS).

Dan seperti dijangka, majlis pengenalan pasukan itu tidak berlangsung di Itali, namun di Los Angeles, AS dan turut disertai kedua-dua pelumbanya Miguel Oliveira dan Raul Fernandez, pemilik pasukan Justin Marks dan Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola.

Mengambil alih tempat RNF milik rakyat Malaysia, Datuk Razlan Razali yang beraksi selama dua musim (2022-2023), 'Liveri' pasukan Trackhouse Aprilia MotoGP tampil dengan gabungan warna Merah, Putih dan Biru dengan jalur dan bintang seakan bendera AS.

Sebagai info, RNF Racing adalah pasukan yang ditubuhkan selepas pembubaran pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (2019-2021) yang menyertai perlumbaan elit itu dengan mengambil alih posisi dikosongkan pasukan Aspar MotoGP (2010-2018).

Seperti diketahui, Razlan selaku pemilik dan Prinsipal meletakkan jawatan dalam pasukan berkenaan selepas pembubaran RNF namun kebanyakan staf terutama dari bahagian kejuruteraan kekal antaranya Pengurus, Wilco Zeelenberg.

Bagi Aprilia, ia adalah musim kedua pengeluar itu menampilkan pasukan satelit.

Tahun lalu, pelumbanya Oliveira berdepan beberapa siri kecederaan pada penampilan sulung pasukan itu bersama jentera RS-GP 22 dengan keputusan terbaik adalah di tangga keempat.

Manakala keputusan terbaik diraih bekas juara dunia Moto2, Fernandez adalah di kedudukan kelima di perlumbaan penutup tirai di Valencia.

Musim ini, Aprilia mengesahkan Oliveira akan menggunakan jentera spesifikasi terkini RS-GP 24 seperti yang digunakan pelumba pasukan 'Factory' Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Tetapi seperti RNF, tiada pasukan daripada AS beraksi di kejuaraan itu dengan penganjur MotoGP berharap kehadiran Trackhouse mampu meningkatkan populariti sukan itu di negara berkenaan.

Pelumba-pelumba AS mendominasi MotoGP menerusi Kenny Roberts pada lewat 1970-an dan Kevin Schwantz pada 1993. Kali terakhir pelumba AS menjulang gelaran juara dunia MotoGP adalah menerusi Nicky Hayden pada 2006.