PENGHANTARAN Motosikal ZXMoto Ke Eropah Bermula
Penerimaan luar biasa pasaran Eropah terhadap ZXMoto dipercayai didorong oleh prestasi cemerlang jenama itu di litar lumba khususnya dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WdSBK) 2026 dalam kelas WorldSSP dengan 6 kemenangan sudah berjaya diraih
TERKINI
7/15/20261 min read


PENGELUAR motosikal asal China yang berjaya mencetus sensasi, ZXMoto memulakan langkah agresif untuk menyertai persaingan pasaran di Eropah apabila penghantaran kumpulan pertama membabitkan lebih 200 unit jentera jenama itu sudah bermula, hujung bulan lalu.
Penghantaran pertama yang menjadikan Poland sebagai destinasi itu menandakan strategi ZXMoto yang sebelum ini lebih memfokuskan pasaran Asia.
Dan susulan lonjakan permintaan yang mendadak dari benua berkenaan, 330 unit lagi jentera ZXMoto dijadual berlepas ke Sepanyol dalam masa terdekat.
Penerimaan luar biasa pasaran Eropah terhadap jenama itu dipercayai didorong oleh prestasi cemerlang ZXMoto di litar lumba khususnya dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WdSBK) 2026.
Dalam saingan kategori WorldSSP, ZXMoto setakat ini sudah menakluk enam kemenangan, termasuk kejayaan terbaharu yang diraih menerusi pelumbanya dari Perancis, Valentin Debise pada pusingan Emilia-Romagna di Litar Misano.
Dominasi di litar lumba itu secara tidak langsung membuka mata peminat permotoran Eropah. Rata-rata peminat, termasuk dari Itali dan Greece yang hadir ke litar, kini mula memuji kualiti ZXMoto dan menyifatkan jentera keluaran China sedang menjadi penanda aras baharu dalam industri dua roda global.
Sebagai rekod, wilayah Chongqing yang sinonim dengan gelaran 'Ibu Kota Motosikal' China sudah merekodkan nilai eksport motosikal mencecah 12.21 bilion yuan (sekitar RM 7.9 bilion) bagi tempoh 5 bulan pertama tahun 2026, peningkatan sebanyak 9.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

