'PENING' Kerap Dikaitkan Dengan Marc Marquez, Ini Jawapan 'Bos Besar' KTM
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/24/20231 min read
SEPERTI sudah 'pening' kerap dikaitkan dengan Marc Marc Marquez, KTM akhirnya mengeluarkan jawapan muktamad membabitkan juara dunia MotoGP enam kali itu yang dijelaskan sendiri 'bos besarnya', Stefan Pierer.
KTM sekali lagi dikaitkan dengan Marquez selepas dikatakan cuba untuk mendapatkan pasukan satelit, LCR untuk menyertai mereka yang memberi ruang buat pelumba Repsol Honda itu dan Pedro Acosta.
Tetapi Pierer yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pierer, syarikat yang memiliki KTM menyatakan dengan jelas perancangan mereka terutama bagi musim 2024.
Berkata kepada Speedweek, Priere menjelaskan: "Saya tidak berkata yang ia bukan satu persoalan. Tetapi ia tidak sesuai dengan kami.
"Berapa kali kamu fikir yang dia ditawarkan kepada kami sejak beberapa bulan lalu? Ini adalah situasi yang sudah pun 'tersekat', dan dia (Marquez) langsung tidak bersalah. Gaya tunggangannya ketika ini langsung tidak sesuai dengan jentera yang mementingkan rekaan aerodinamik. Kerana itu dia kerap terjatuh.
"Kami ingin menjadi juara dunia satu hari nanti. Tetapi menandatangani Marquez bukan cara kami. Kami mencipta pelumba kami sendiri, dari Moto3 ke Moto2. Saya juga mempunyai kepercayaan terhadap Brad Binder dan Jack Miller, yang berjuang untuk Kejuaraan Dunia Moto3 bersama kami pada 2014 dan kini sudah kembali.
Ketika ini, Binder dan Miller sudah pun menandatangani kontrak bersama KTM sehingga musim depan dan situasi sama turut dikongsi pelumba pasukan satelit Tech3 GASGAS, Pol Espargaro.
Tetapi, Espargaro berdepan nasib malang apabila terlepas hampir keseluruhan musim ini selepas mengalami kecederaan serius ketika sesi latihan bebas pada pusingan pembukaan di Portugal.
Seorang lagi pelumba, Augusto Fernandez begitupun hanya mempunyai kontrak sehingga penghujung musim. Disebalik spekulasi Fernandez berisiko kehilangan posisinya,
Pierer menegaskan Espargaro, Acosta dan Fernandez akan menunggang jentera KTM musim depan dan sudah pun mempunyai kontrak baharu bagi musim 2024.
"Kami sudah pun melanjutkan kontraknya (Fernandez). Acosta juga sama. Kami jamin dia akan berlumba dengan jentera MotoGP KTM pada 2024. Kami akan berusaha melakukannya. Tetapi pertama sekali, kami perlu memberikan Pol peluang untuk membuktikan bagaimana dia boleh pulih. Dan jika saya mahukan tempat yang lebih, segala-galanya akan diaturkan.