PENTING Untuk Menang Di 'Gelanggang' Ducati
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/16/20251 min read


TOPRAK Razgatlioglu menyifatkan kemenangan 'treble' di Misano, Itali pada Pusingan 6 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sebagai penting kerana ia adalah laman sendiri kepada pencabar utamanya Ducati.
Pelumba kelahiran Turki itu menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan di Misano yang menyaksikannya kini hanya dibezakan dengan sembilan mata di belakang pendahulu kejuaraan, Nicolo Bulega dari pasukan Aruba.it Racing Ducati.
Bulege jelas ditumpa kesukaran di Misano selepas terlepas kedudukan petak utama di grid berikutan penalti yang dikenakan kepadanya selain mengalami kemalangan pada Perlumbaan Superpole.
"Jika kami tidak berdepan masalah elektronik di Most pada selekoh terakhir, saya fikir kami sekarang lebih gembira kerana kami (mungkin) pendahulu kejuaraan," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
"Saya juga memberikan tekanan dengan amat kuat di sini. Terutama bagi saya adalah amat penting kerana ia adalah perlumbaan laman sendiri Ducati, saya perlu menang di sini, saya hanya meletakkan fokus di litar ini.
"Akhirnya, kami melakukannya, ia adalah perasaan yang menakjubkan.
"Ia juga bagus kerana saya meraih lebih motivasi untuk perlumbaan lain kerana masih banyak perlumbaan yang kami perlu hadapi sebelum musim berakhir.
"Jurangnya ketika ini amat rapat. Saya hanya fokus, sebelum perpindahan ke MotoGP untuk memenangi gelaran ini."
Pelumba yang bakal berhijrah ke Pramac Yamaha di MotoGP pada musim depan itu turut mengakui berpuas hati dengan peningkatan yang dibuat terhadap jenteranya sepanjang minggu.
"Saya amat gembira kerana pada minggu ini saya bekerja amat keras dan sasaran terbesar saya adalah untuk menang ketiga-tiga perlumbaan. Pada perlumbaan terakhir terutamanya, saya merasakan yang jentera jauh lebih baik kerana pasukan sudah mempertingkatkannya langkah demi langkah dalam setiap sesi.
"Saya hanya menggunakan rentak saya kerana saya mempunyai rentak kepantasan yang amat baik. Saya amat gembira. Tahun lalu, kami meraih tiga kemenangan di sini dan kami melakukannya sekali lagi tahun ini."
