PENTING Untuk Menang Di Thailand - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/27/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia menyifatkan kemenangan yang diperoleh pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Thailand 2024 penting bukan saja bagi pemburuan kejuaraan, namun lebih utama untuk keyakinan dirinya.
Kemenangan Bagnaia menyaksikan jurang di antara pelumba Ducati Lenovo itu dan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dirapatkan kepada 17 mata berbanding 22 mata sebelum perlumbaan.
Dan kemenangan pada perlumbaan litar basah itu adalah kemenangan ke-9 penyandang juara dunia itu musim ini berbaki dua pusingan - GP Malaysia minggu ini dan Valencia.
"Sudah tentu," kata Bagnaia ketika ditanya sama ada kemenangan di Buriram adalah 'wajib' untuknya. "Dari sudut kejuaraan, tidak begitu banyak. Tetapi dari sudut perasaan, dari sudut mental, ia amat penting, bukan saja untuk saya, tetapi untuknya (Martin).
"Jadi ia adalah hari yang bagus untuk kami untuk segala-galanya. Dan jurang 17 (mata) adalah angka yang baik untuk saya. Ia adalah hari untuk melakukan perubahan dan bertuahnya kami melakukannya.
"Saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada pasukan, kerana selepas pagi ini, kami duduk berbincang mengenai apa yang diperlukan untuk memperbaiki situasi kerana saya bergelut dengan teruk ketika membrek.
"Dan kami berjaya melakukannya sekali lagi. Saya amat gembira. Ia bukan perlumbaan yang mudah kerana ia amat panjang dan memberi tekanan, tetapi sejurus saya memulakan perlumbaan, perasaan saya cukup baik dan saya melihat Jorge memberikan tekanan.
"Tetapi saya membuat keputusan untuk menunggu dua pusingan lagi sehingga saya pasti yang tayar belakang saya lebih bersedia, dan selepas itu saya cuba untuk mengejarnya semula.
"Kemudian saya cuba membina jurang, tetapi Marc (Marquez) berusaha cukup kuat . Ketika dia kemalangan, kami cukup laju pada sektor ketiga jadi ia memang menakjubkan terutama dari sudut kepantasan.
"Saya tahu adalah penting untuk saya menamatkan perlumbaan di tempat pertama berbanding kedua dan meraih lebih banyak mata kejuaraan."
